KLANG – Seorang lelaki dan adiknya diserang sekumpulan lelaki yang disyaki anggota gangster di hadapan kediamannya di Jalan Sungai Jati, Taman Sentosa, Klang.

Kejadian berlaku selepas adik mangsa yang berusia 37 tahun itu menegur tindakan seorang lelaki yang memandu kereta dengan laju yang menyebabkan bunyi bising di kawasan perumahan mereka.

Disebabkan tidak puas hati, pemandu kereta itu didakwa memanggil beberapa orang rakannya sebelum menyerang lelaki tersebut dan adiknya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata,  pihaknya telah menerima satu laporan berhubung insiden serangan itu dengan menggunakan kayu dan topi keledar pada jam 7 malam semalam.

Katanya, akibat kejadian itu, mangsa luka di kaki kiri manakala adiknya cedera di bahagian muka.

Bertindak atas aduan mangsa itu, menurut Shamsul Amar, pihaknya berjaya mengesan dan menahan lapan suspek lelaki pada hari yang sama.

“Mereka ditangkap antara jam 9 hingga 10 malam semalam oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenyah Polis Klang Selatan di sekitar Klang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ujar beliau, polis juga merampas sebuah motosikal jenis Yamaha, sebuah kereta Honda serta dua buah topi keledar.

Katanya, lima suspek ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) manakala tiga lagi ditahan di lokasi kejadian itu yang mana dua daripadanya adalah adik beradik.

“Hasil siasatan ke atas kesemua suspek telah mengaku terlibat dengan kes kejadian tersebut dan polis masih meneruskan siasatan ke atas mereka.

“Tiga daripada suspek mempunyai satu hingga 13 rekod pelbagai kesalahan jenayah lampau termasuk dua rekod dadah dan kesemua berusia 20 hingga 30 tahun.” katanya.

Menurut Shamsul Amar, kes disiasat di bawah seksyen 148 Kanun Keseksaan dan kesemua lapan suspek ditahan reman antara dua hingga tiga hari bagi melengkapkan siasatan. – MalaysiaGazette