Dr Azmi Hassan

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu mendapatkan penjelasan segera daripada Beijing berhubung isu penerbangan mencurigakan pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) yang memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM) di Sabah kelmarin.

Pakar Geostrategis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan menegaskan, perkara itu penting bagi mengelak rakyat berasa bimbang terhadap ancaman keselamatan selepas berita mengenainya tersebar.

Bagaimanapun, penjelasan yang dibuat menerusi bantahan diplomatik perlu mengambil pendekatan bijaksana bagi mengelakkan Malaysia dilihat ‘bodoh’ oleh pihak luar kerana pesawat terbabit dikatakan belum memasuki ruang udara negara.

“Kita kena spesifik sikit apa yang dikatakan telah mencabul kedaulatan kita kerana Beijing mengatakan dan siaran media TUDM pun beritahu pesawat itu belum memasuki ruang udara kedaulatan kita…cuma menghampiri Beting Patinggi Ali dan Beting Patinggi Ali ini berada dalam zon eksklusif ekonomi (EEZ).

“Zon ekonomi ini ia bebas dilalui oleh mana-mana pesawat…tapi masalahnya dalam zon eksklusif mana-mana pesawat atau pesawat udara perang mesti memberitahu atau mendapat kebenaran kita…namun, dalam kes ini mereka tidak memberitahu walaupun mereka ada hak untuk melalui kawasan udara antarabangsa tersebut,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut Azmi berkata, kerajaan melalui Wisma Putra perlu berhati-hati dalam mengadakan perbincangan dengan Beijing dalam isu tersebut bagi mengelak berlakunya kekeliruan hingga boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Akan tetapi, jelas beliau, China tetap melakukan kesalahan kerana telah melalui ruang udara EEZ tanpa membuat pemakluman.

Meskipun, MAlaysia mengetahui  China sering melakukan perkara sama terhadap Filipina dan Vietnam namun, ia tidak sewajarnya turut membabitkan Malaysia, katanya.

“Saya rasa itu yang Wisma Putra buat bantahan …saya takut kalau Malaysia salah buat bantahan China akan menongkah dan tersilap tempias kena pada kita semua nanti.

“Tapi dalam hal ini pencerobohan bukan kali pertama berlaku kerana ia sering terjadi di perairan…Namun pencerobohan terhadap ruang udara pertama kali berlaku…jadi ini yang menjadi isu sekarang,” tambahnya.

Azmi turut memberitahu, Malaysia perlu tahu niat dan tujuan China menggunakan pesawat tentera mereka untuk memasuki ruang udara EEZ dan jawapan yang diberikan perlu dimaklumkan kepada umum.

“Bagi saya bantahan diplomatik itu satu permulaan yang baik untuk kita beritahu tentang pendirian Malaysia.

“Kita kena tahu apa tujuan operasi dan niat mereka. Sekarang ini kita tak tahu sebab ada pintasan oleh pihak TUDM sebelum itu.

“Tapi, dalam hal isu membabitkan kedaulatan dengan pihak luar ini sepatutnya kenyatan pertama perlu keluar dari Wisma Putra bukannya dari TUDM..tapi dalam hal ini bila TUDM keluar kenyataan terlebih dahulu kemungkinan belum berlaku lagi pencerobhan tapi kita tak tahu lagi apakah niat mereka setakat ini,” kata beliau.

Semalam, media melaporkan TUDM mengesan penerbangan mencurigakan 16 pesawat PLAAF di ruang udara EEZ Sabah.

Ia dikesan di Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional dengan kehadiran pesawat-pesawat itu dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi – MalaysiaGazette

 

TUDM pintas 16 pesawat tentera China ceroboh ruang udara Zon Maritim Malaysia

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Cina perasan Malaysia Cina punya macam siapa suruh tendang keluar Singapore dan serah Penang kepada majority kaum asing dari Tanah Besar Cina dan India. Palestin terkejut tau.

Comments are closed.