Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Malaysia menyambut baik keputusan yang dibuat oleh Menteri Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan bukan OPEC (OPEC+) untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak 2 juta tong sehari (mb/d) secara beransur-ansur pada kadar yang sesuai mengikut keadaan pasaran.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat ke-17 secara maya semalam.

Mesyuarat itu turut memutuskan untuk memantau asas pasaran minyak bagi memastikan proses untuk mengimbangi dan menstabilkan pasaran minyak global dapat dicapai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, terdapat tanda-tanda pemulihan pasaran minyak setelah penurunan permintaan
yang mendadak akibat penularan pandemik Covid-19 bermula awal 2020.

Pelaksanaan program vaksin secara agresif telah membantu proses pemulihan aktiviti ekonomi di beberapa negara, secara tidak langsung meningkatkan
keyakinan pengguna, sekali gus memacu semula permintaan minyak.

Jumlah keseluruhan permintaan minyak mentah dunia pada suku kedua 2020 ialah 83 juta tong sehari dan dijangka meningkat kepada 94 juta tong sehari bagi tempoh yang sama tahun ini.

Secara purata, harga minyak mentah Brent bagi tempoh Januari sehingga Mei 2021 mencatatkan AS$63 setong berbanding AS$40 bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Selaras dengan usaha-usaha pemulihan aktiviti ekonomi yang berterusan di Malaysia, permintaan ke atas produk minyak domestik juga telah mencatatkan peningkatan semula kecuali sektor penerbangan, kata beliau.

Jika dibandingkan PKP1.0 dengan PKP3.0, pembukaan beberapa sub-sektor ekonomi telah memainkan peranan dalam membawa kepada peningkatan dalam permintaan minyak.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Menteri Tenaga Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Salman Al Saud dan Timbalan Perdana Menteri
Persekutuan Rusia, Alexander Novak dan disertai oleh 13 wakil negara anggota OPEC serta 10 wakil negara bukan anggota OPEC.

Malaysia yang bukan anggota OPEC mula menyertai Mesyuarat OPEC+ sejak Disember 2016. – MalaysiaGazette