Dr. Roy Anthony Rogers.

KUALA LUMPUR – Pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) tidak sepatutnya memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM) di Sabah pada Isnin lalu berikutan Malaysia mempunyai hubungan yang rapat dengan China.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya, Dr Roy Anthony Rogers berkata, walaupun insiden yang berlaku itu tidak menjurus kepada menganggu gugat keamanan negara namun ia memberi kesan kepada hubungan yang telah sekian lama terbina.

“Tidak lah sehingga mengganggu gugat keamanan negara cumanya dari segi hubungan dua hala Malaysia-China akan beri sedikit kesan kerana China merupakan negara jiran Malaysia selain daripada rakan perdagangan yang selama ini memang ada hubungan rapat.

“Justeru isu sedemikian tidak patut terjadi atas semangat setia kawan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Dalam pada itu, Roy Anthony berkata, Malaysia perlu terus mempertingkatkan pertahanan negara daripada sebarang pencerobohan pada masa akan datang dengan memperketatkan lagi ruang udara dan perairan.

Jelas beliau, berdasarkan laporan Audit Negara, sebanyak 89 kali kawasan perairan negara di Beting Patinggi Ali diceroboh antara tahun 2016 hingga 2019.

“Berdasarkan jumlah agak kerap berlaku (pencerobohan) seperti dikeluarkan laporan Audit Negara sebab itu saya katakan baik dari segi udara mahu pun sudut laut pertahanan negara perlu dipertingkatkan lagi pada masa depan,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai insiden pesawat China itu, Roy Anthony berkata, nota bantahan diplomatik kepada negara terbabit yang dikemukakan oleh Kementerian Luar adalah suatu langkah yang wajar.

“Yang pertama melalui diplomatik bilateral dengan memanggil Duta Besar China di Kuala Lumpur untuk bertanya dan mendapatkan penjelasan mengenai apa yang berlaku.

“Seterunya dalam hubungan multilateral melalui ASEAN+3 kerana China merupakan sebuah negara dialog di dalam pertubuhan itu jadi kita cuba luahkan rasa tidak puas hati menerusinya,” katanya. – MalaysiaGazette