KUALA LUMPUR – Seorang lagi suspek ditahan polis hari ini kerana disyaki terlibat menyerang dua beradik di hadapan kediaman mereka di Jalan Sungai Jati, Klang gara-gara menegur kereta yang dipandu laju dan menyebabkan bunyi bising semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsur Amar Ramli berkata, lelaki yang  berusia 20 tahun berasal dari Klang yang tidak memiliki rekod jenayah lampau itu mengaku terlibat dalam insiden rusuhan itu.

“Dia ditangkap di Hospital Tunku Ampuan Rahimah, Klang (HTAR) jam 6 petang tadi,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Tambah beliau, tangkapan suspek terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan suspek yang ditangkap dalam kes tersebut berjumlah sembilan orang.

Terdahulu, Shamsul Amar berkata, lapan suspek ditahan selepas menyerang dua beradik menggunakan kayu, topi keledar dan membaling botol kaca ke dalam rumah mereka kerana tidak berpuas hati ditegur kerana memandu lagi dengan kereta berbunyi bising di taman kawasan perumahan mereka.

Insiden itu menyaksikan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di kaki dan muka.

Menurut Shamsul Amar, kes disiasat di bawah seksyen 148 Kanun Keseksaan dan kesemua lapan suspek ditahan reman antara dua hingga tiga hari bagi melengkapkan siasatan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast