Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin . Foto SYAFIQ AMBAK, 03 JUN 2021.

SEMENYIH – Kerajaan menghantar pulang seramai 78,530 daripada 97,891 pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara asal masing-masing menerusi Program Rekalibrasi yang dilaksanakan Jabatan Imigresen.

Jumlah berkenaan direkodkan bagi tempoh 21 Disember 2020 hingga 1 Jun yang lalu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini.

“Selain itu, kira-kira 108,000 warga asing telah mendaftarkan diri dalam proses untuk memohon mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang diperkenalkan kerajaan baru-baru ini.

“Berdasarkan jumlah keseluruhan itu, lebih 200,000 warga asing di negara ini telah dikenalpasti Jabatan Imigresen menerusi Program Rekalibrasi yang dilaksanakan,” katanya dalam sidang media selepas lawatan ke Pusat Depot Imigresen Sementara Millennium di Beranang di sini.

Dalam isu sama, Hamzah menambah, seramai 5,009 majikan juga telah berdaftar dalam Program Rekalibrasi bagi mendapatkan khidmat warga asing yang berdaftar secara sah untuk bekerja di majikan mereka.

Dalam perkembangan sama, Hamzah menjelaskan, kementerian itu juga menjalin kerjasama rapat dengan Kedutaan Myanmar, Bangladesh, Indonesia dan China untuk proses penghantaran pulang warganegara mereka yang dineutralkan menerusi program ini.

“Kita masih mempunyai lebih 19,000 pendatang asing di negara ini dan mereka juga akan dihantar pulang selepas segala urusan dokumentasi selesai.

“Pada masa sama, kita mahu pastikan rakyat mereka (warga asing) yang berada di sini mempunyai dokumen sah bagi proses penghantaran balik mahupun urusan lain,” katanya,” ujar Hamzah.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Pati pulang cuti sebelum masuk balik bayar sindiket mendapatkan keuntungan tetapi elak bayar visa supaya merugikan imigresen yang tetap jamin pati makan tanggung berak tong gratis aja dong.

Comments are closed.