Banjir di Cameron Highlands semalam.

KUALA LUMPUR – Kejadian banjir kilat di Cameron Highlands baru-baru ini tidak mempunyai kaitan dengan Projek Jalan Pintasan Cameron Highlands kerana projek berkenaan masih pada peringkat reka bentuk dan kajian penilaian.

Kementerian Kerja Raya (KKR) berkata, sehingga kini tiada sebarang kerja pembinaan fizikal berkaitan projek itu dilaksanakan di tapak, selain kerja penyelenggaraan rutin di jalan sedia ada.

“Sebarang dakwaan yang mengaitkan kejadian banjir kilat berkenaan dengan aktiviti pembinaan fizikal projek ini adalah tidak tepat,” katanya menerusi kenyataan.

Penjelasan itu dibuat susulan laporan media dan kebimbangan berhubung kejadian banjir kilat serta tanah runtuh selepas hujan lebat di beberapa lokasi di Cameron Highlands, termasuk gesaan supaya projek berkenaan dihentikan sementara.

Menurut KKR, projek Jalan Pintasan Cameron Highlands merangkumi pembinaan Jalan Pintasan Tanah Rata, naik taraf Jalan Persekutuan FT59 dari Tanah Rata ke Kea Farm serta naik taraf Jalan Persekutuan FT434 (Jalan Griddle).

Berdasarkan semakan awal, kejadian banjir yang dilaporkan semalam di kawasan Taman MARDI dan Padang Awam, Tanah Rata berlaku di jalan sekunder dan bukan sebahagian daripada jajaran jalan utama yang terlibat dalam projek berkenaan.

Bagaimanapun, KKR mengesahkan kejadian tanah runtuh berskala kecil berlaku di Jalan Tengkolok yang berada di bawah skop penyelenggaraan rutin kontraktor projek.

“Kerja pembersihan sisa runtuhan telah dilaksanakan dengan segera dan telah selesai bagi memastikan keselamatan serta kelancaran pengguna jalan raya,” katanya.

KKR berkata, pihaknya memandang serius kebimbangan berkaitan keselamatan cerun, keadaan geologi, sistem saliran dan risiko bencana dalam pelaksanaan projek berkenaan.

Menurutnya, projek itu tertakluk kepada semua penilaian, kelulusan dan syarat teknikal yang ditetapkan pihak berkuasa berkaitan, termasuk Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Penilaian Impak Sosial (SIA), keperluan geoteknikal serta kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Kerja pembinaan fizikal hanya akan dimulakan setelah semua kelulusan dan syarat berkaitan dipenuhi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here