Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) meminta Ketua Polis Negara memberi kebenaran kepada petugas kesihatan swasta menggunakan laluan petugas barisan hadapan yang disediakan di sekatan jalan raya (SJR) dan stesen perkhidmatan pengangkutan awam.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) meminta Ketua Polis Negara memberi kebenaran kepada petugas kesihatan swasta menggunakan laluan petugas barisan hadapan yang disediakan di sekatan jalan raya (SJR) dan stesen perkhidmatan pengangkutan awam.

Presiden APHM, Datuk Dr Kuljit Singh berkata, kebenaran itu perlu bagi mengelak kelewatan petugas kesihatan swasta tiba di tempat kerja masing-masing.

Menurut beliau, keadaan itu antara lain dikhuatiri akan mengganggu operasi harian sektor perubatan swasta yang aktif mengendalikan kes berkaitan Covid-19.

“Hospital swasta aktif mengendalikan kes Covid-19, daripada saringan hingga merawat pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan menguruskan pusat vaksin. Sebarang kelewatan di SJR dan stesen pengangkutan awam akan menjejaskan operasi.

“Kami sangat memahami kemungkinan individu menyamar petugas kesihatan untuk melepasi SJR, tetapi semua kakitangan hospital swasta dilengkapi dokumen, lencana bergambar dan talian untuk pengesahan.

“APHM juga bersedia mengadakan sesi dialog bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung perkara ini, selain sudah mengutus surat bagi tujuan sama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Kuljit memaklumkan, operasi hospital swasta tertakluk di bawah Akta Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dan tidak memerlukan kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Kakitangan bukan klinikal seperti doktor, jururawat dan ahli farmasi di hospital perlu bekerja secara fizikal kerana ia sebahagian daripada perkhidmatan ditawarkan.

“Kami berharap petugas kesihatan swasta diberi layanan sama untuk menggunakan laluan khas di SJR seperti rakan sejawatnya di Kementerian kerana mereka juga sering mengendalikan kes kecemasan,” katanya. – MalaysiaGazette