Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Al memberi penjelasan SOP PKPD yang perlu dipatuhui warga Kuantan, Pahang hari ini.

KUANTAN – Seramai empat kakitangan pasar raya di sini antara 17 pesalah yang dikompaun RM5,000 setiap seorang kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada penjarakan fizikal antara pekerja semasa membuat tugasan.

“Keempat-empat kakitangan dikompaun di dua pasar raya berbeza kerana tidak ada jarak fizikal ketika melaksanakan tugasan.

“Tiada kompromi dalam menguatkuasa SOP, kita sering melihat kesalahan pelanggan tetapi dalam kalangan kakitangan sendiri selalu terlepas pandang sedangkan SOP tertakluk pada semua,” katanya ketika ditemui hari ini.

Manakala tinjauan bersama barisan anggota Ibupejabat Daerah Kuantan ke tujuh lokasi beberapa pasar raya mendapati masih ada orang awam yang bersikap acuh tidak acuh terhadap peraturan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sehingga kini sebanyak 98 kompaun RM5,000 setiap satu telah dikeluarkan dalam operasi pemantauan SOP sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di Kuantan bermula 24 Mei lalu. -MalaysiaGazette