Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Penularan wabak COVID-19 di Site B dan C di Sekinchan, Selangor dilaporkan berpunca daripada sebuah pusat mahjong.

China Press melaporkan, sehingga 29 Mei, sebanyak 45 daripada 240 orang yang disaring telah disahkan positif dalam Kluster Site BC Sekinchan di daerah Sabak Bernam.

Walau bagaimanapun, segelintir kontak rapat dilaporkan “bersembunyi” di rumah dan tidak menerima saringan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, jangkitan yang berpunca daripada pusat mahjong itu telah membawa kepada penularan komuniti dengan pesakit paling tua berusia 80 tahun.

“Sebelum ini berlaku jangkitan membabitkan satu keluarga di Sekinchan pada 9 Mei, tetapi penularan berjaya dikawal sepenuhnya.

“Kini berlaku kluster baharu membabitkan sebuah pusat mahjong di mana kebanyakan pengunjungnya adalah penghuni Kampung C,” katanya.

Menurutnya, polis telah memulakan siasatan terhadap pusat mahjong itu yang menerima kunjungan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelasnya, walaupun Kementerian Kesihatan menamakan kluster di Sekinchan itu sebagaiĀ  Kluster Site BC Sekinchan, tetapi penduduk umumnya mengetahui ia berpunca daripada pusat mahjong.

“Ia bukan satu rahsia di sini dan kami semua merujuknya sebagai ‘Kluster Mahjong’ walaupun ini bukan nama rasmi,” katanya. – MalaysiaGazette