Hasni Mohammad

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad dan barisan Exco Kerajaan Negeri Johor bersetuju menyumbangkan tiga bulan gaji kepada Tabung Bencana Negeri bermula bulan ini untuk mempertingkat keupayaan sistem kesihatan awam negeri dalam mendepani pandemik COVID-19.

Hasni menerusi kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat mingguan Exco, semalam.

“Saya (juga) ingin mengajak semua Ahli Yang Berhormat di Johor untuk bersama-sama menyumbang sebahagian daripada elaun mereka ke dalam Tabung Bencana Negeri Johor untuk membantu rakyat.

“Saya juga menyeru pihak swasta, korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan individu yang prihatin untuk turut sama menyumbang agar lebih ramai pihak yang memerlukan menerima manfaat,” katanya.

Sejak ditubuhkan tahun lepas, Tabung Bencana Negeri Johor telah menerima sebanyak RM44.83 juta sumbangan wang tunai dan peralatan daripada pelbagai pihak dan hingga kini, sebanyak RM41.65 juta telah digunakan untuk manfaat rakyat.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Hasni berkata kerajaan negeri bersetuju melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah hingga 30 Sept ini dengan pemberian rebat sebanyak 10 peratus, manakala denda lewat bagi tahun 2021 iaitu sebanyak 20 peratus dengan kadar minimum RM10 yang sepatutnya bermula 1 Jun, turut dilanjutkan kepada 1 Okt depan.

“Dengan pelanjutan tempoh akhir itu, saya harap ia akan dapat memberi masa yang mencukupi bagi pemilik menunaikan tanggungjawab menjelaskan bayaran cukai tanah masing-masing,” katanya.

—  BERNAMA