KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan menerima laporan kehilangan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun selepas keluar dari rumah pada 31 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya menerima satu laporan yang dibuat oleh bapa mangsa, Mohd Rushdan Mohamad Yusof mengenai kehilangan anaknya, Nur Elida.
“Nur Elida keluar rumah pada 31 Mei tetapi tidak pulang sehingga laporan polis dibuat. Untuk makluman, kes ini masih dalam siasatan pihak polis dan diklasifikasikan sebagai orang hilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu berita kehilangan Nur Elida tersebar luas di media sosial selepas akaun sk8msia memuat naik beberapa keping gambar memohon bantuan orang ramai mencari remaja terbabit.
Menurut akaun Instagram itu, Nur Elida dikatakan sedang bermain papan selaju di kawasan belakang rumahnya berhampiran sebuah taman di Seksyen 7, Shah Alam.
Berdasarkan maklumat yang dikongsi, bapa Nur Elida meminta anaknya yang lain untuk memanggil remaja itu pulang namun hanya menemui sarung tangan dan helmet. – MalaysiaGazette