Seorang peniaga ayam bakar, Mohd Nizam Mohamed Lazim diiringi pegawai SPRM tiba di mahkamah untuk didakwa atas pertuduhan percubaan memberi wang suapan RM120,000 kepada seorang pegawai kanan polis sebagai dorongan tidak mengambil tindakan kepada rakannya yang memiliki dadah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 03 JUN 2021

SHAH ALAM – Seorang peniaga ayam bakar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan bersubahat bersama rakannya untuk memberi wang suapan berjumlah RM120,000 kepada seorang pegawai kanan polis bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Nizam Mohamed Lazim, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Mengikut pertuduhan, pada 24 Mei 2021, di Petron Persiaran Mahogani, Pusat Servis J&H, Jalan Mahogani, Petaling Jaya, Mohd Nizam didakwa bersubahat dengan rakannya, Abd Aziz Abdullah@Shariff, 39, memberi wang suapan berjumlah RM120,000 kepada seorang pegawai kanan polis.

Penjawat awam itu merupakan penolong penguasa polis yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas Abd Aziz kerana memiliki dadah jenis syabu.

Kesalahan Abd Aziz itu disiasat di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagi kesalahan tawaran rasuah itu, Mohd Nizam didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan dibaca bersama Seksyen 28 (1)(c) Akta yang sama dan bolch dihukum di bawah seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Akta itu memperuntukkan hukuman tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab Wahab memohon jaminan RM100,000 dikenakan terhadap tertuduh dengan seorang penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap awal bulan.

Bagaimanapun peguam tertuduh, Mohd Baharuddin Ahmad Kassim dan Nabil Ashraff Ridzuan memohon jaminan paling minimum atas alasan isteri tertuduh bekerja dan hanya mampu mengumpulkan RM150,000.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin, pasport perlu diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah juga menetapkan 12 Jun ini sebagai tarikh sebutan kes bagi penyerahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast