Azrul menunjukkan lokasi sekatan akan di pasangan di Mukim 12 susulan pelaksanaan PKPD bermula esok.

BAYAN LEPAS – Penduduk terbabit dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 13 lokaliti Pekan Bayan Lepas, Mukim 12 Daerah Barat Daya dekat sini, digalakkan menggunakan e-wallet bagi urusan pembelian.

Nasihat itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz memandangkan tiada mesin pengeluaran automatik (ATM) atau bank dalam kawasan PKPD terbabit.

Azrul.

Jelas Azrul, 2,576 keluarga yang terbabit dalam PKPD itu diberikan kelonggaran untuk keluar mendapatkan barangan keperluan asas mereka, namun terhad kepada kedai yang juga terletak di dalam kawasan PKPD tersebut.

“Setiap ketua keluarga akan diberikan satu tag untuk mereka keluar dapatkan barang keperluan termasuk perubatan dalam kawasan terbabit.

“Jadi kita galakan mereka serta peniaga kawasan itu menggunakan pembelian tanpa tunai atau e-wallet bagi memudahkan urusan jual-beli.

“Galakan ini dibuat kerana kita bimbang penduduk tidak sempat mengeluarkan atau mempunyai wang tunai memandangkan tempoh pengumuman pelaksanaan PKPD dibuat dalam tempoh yang singkat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Tambah Azrul, Pusat Operasi Adun Bayan Lepas bagi PKPB ini akan di tempatkan di Sekolah Agama Rakyat Al Madrasah Al Khairiah Al Islamiah Bayan Lepas bagi kemudahan urusan memberi dan menerima bantuan dan sebagainya.

“Saya harap penduduk di sini tidak gundah-gulana dengan situasi PKPD bermula esok demi kesejahteraan semua.

“Selain itu, diharapkan supaya orang ramai di lokasi berhampiran terus menjaga dan patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) sepanjang PKPD berkenaan,”‘ujarnya.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk Yew Tung Seang berkata kawasan PKPD seluas 87 ekar itu turut membabitkan 83 premis komersial dan dengan keseluruhan seramai 10,000 penduduk.

Terdahulu Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi kenyataannya berkata, PKPD berkenaan membabitkan 13 lokaliti sekitar pekan Bayan Lepas iaitu Sri Bayu, Bayu Tiara, Bayu Nyaman, Halaman Murni, Bayan Permai dan Bayan Tiara.

Turut terbabit ialah Taman Ara Indah, Kampung Bukit, Kampung Perlis, Kampung Masjid, Jalan Mahkamah, Jalan Kampung Pak Lah dan Lebuh Kampung Bukit. – MalaysiaGazette