Suspek memiliki dadah cuba melarikan diri dari diperiksa polis dikejar 20 minit sebelum diberkas di Pekan Lama Petaling Jaya dalam kejadian awal petang semalam.

KUALA LUMPUR – Walaupun baru setahun keluar dari penjara atas kesalahan mencuri dan menghisap dadah namun dia belum insaf dan mengulangi kesalahan yang sama.

Itu yang dilakukan seorang lelaki yang memiliki dadah jenis heroin bertindak berani melarikan diri dengan memandu teksi secara merbahaya apabila cuba ditahan polis.

Polis mengejar kenderaan suspek selama kira-kira 20 minit sebelum suspek  menyerah kalah ketika dihalang di hadapan sebuah insitutusi perbankan di Pekan Lama, Petaling Jaya dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 6.40 petang semasa sepasukan polis rondaan khas berkereta (MPV) telah terlibat dalam tugas pemeriksaan mengejut atau snap check di Jalan 18/16.

“Semasa rondaan itu polis berjaya menahan sebuah kereta teksi yang dipandu seorang lelaki disyaki warga tempatan dan semasa hendak membuat pemeriksaan, suspek tiba-tiba memecut laju teksi yang dipandunya sebagai tindakan mengelak diri daripada diperiksa polis.

“Suspek yang melarikan diri itu memandu secara berbahaya sehingga hampir melanggar orang awam dan pengguna jalan raya yang lain.

“Polis bertindak pantas dengan mengejar kereta yang dipandu suspek selama 20 minit sebelum berjaya dipintas dan ditahan di hadapan Bank Hong Leong di Pekan Lama Petaling Jaya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Fakhrudin, semasa pasukan MPV mendekati dan mahu memeriksa kereta suspek individu tempatan berusia 35 tahun itu sekali lagi berdegil dengan memberi kerjasama kepada polis dengan mengunci pintu walaupun telah diarahkan keluar dari kereta.

Oleh kerana perbuatan suspek yang enggan menurut arahan dan bekerjasama, polis terpaksa memecahkan cermin tingkap keretanya bagi menjalankan pemeriksaan ke atas suspek.

Tidak insaf selepas keluar penjara apabila ditangkap semula kerana larikan diri dengan heroin dalam kereta teksi dalam kejadian petang semalam.

“Semasa proses tangkapan suspek itu, dua anggota polis di lapangan yang menahan suspek telah cedera ringan di tangan kiri dan sedang menerima rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek berjaya menemui satu tiub straw disyaki dadah jenis heroin seberat 0.30 gram dan ujian urin ke atas suspek positif morfin,” ujarnya.

Semakan ke atas suspek juga mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau dan juga penyalahgunaan dadah iaitu dua rekod jenayah di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan lapan rekod dadah di bawah Seksyen 12(2) dan 15(2) Aklta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut Mohamad Fakhrudin, suspek baru setahun lalu selesai menjalani hukuman atas kesalahan dadah dan tidak serik untuk mengulangi kesalahan sama dan kereta taksi yang digunakan suspek adalah dipercayai milik ahli keluarganya.

Namun polis sedang menyiasat status pekerjaan sebenar suspek dan pelbagai aspek yang boleh membantu melengkapkan siasatan dan direman selama tiga hari sehingga 5 Mei ini untuk disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

“Jika disabitkan kesalahan dia boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali,” tegasnya.-MalaysiaGazette