Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengatakan sesuatu kepada penduduk semasa melakukan Ops Khas PKP susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penutupan penuh bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun di sekitar Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 02 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Jangan sesekali cuba buat pengisytiharan palsu dalam borang permohonan kebenaran pembukaan perniagaan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Penuh atau tindakan tegas akan akan dikenakan.

Itu amaran tegas Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.

Bagaimanapun setakat ini belum ada lagi kes sedemikian dikesan namun pemantauan serius akan dibuat berterusan.

Katanya, mana-mana pemilik perniagaan yang tidak dikategorikan dalam sektor perkhidmatan penting dinasihatkan supaya tidak sesekali memilih jalan pintas menggunakan taktik kotor mendapatkan kebenaran dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada tempoh PKP Penuh berkuatkuasa sehingga 1 Jun lalu.

“Kita di Daerah Dang Wangi memeriksa setiap masa selain ada pasukan pematuhan termasuk di kompleks beli belah. Polis sentiasa menasihati pemilik perniagaan di ibu negara supaya akur dengan SOP yang dikuatkuasakan dan jangan sesekali paksa pekerja hadir.

“Justeru jangan sesekali ada sektor tertentu membuat pengisytiharan palsu dalam borang permohonan di MITI bagi tujuan mendapatkan surat kebenaran beroperasi sepanjang tempoh total lockdown ini sedangkan perniagaan anda bukan dalam kategori perkhidmatan perlu itu sedangkan perniagaan mereka bukan dalam perkhidmatan perlu.

“Kesalahan ini ada dikesan di negeri lain dan saya yakin taktik kotor seumpama tidak berlaku di daerah ini tetapi jika dikesan polis, tanpa kompromi tindakan sangat tegas akan diambil serta merta,” katanya kepada pemberita di ibu negara.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai operasi khas pematuhan PKP Penuh fasa pertama di ibu negara malam tadi.

Dalam pada itu, Mohamad Zainal memuji sekitar 20 orang dari PPR Seri Sarawak di sini yang mengambil inisiatif melakukan rondaan sekitar perumahan awam itu bagi mengelak sebarang kejadian jenayah pecah rumah.

Katanya, sekumpulan penduduk melakukan aktiviti amal itu bagi membantu polis selain menasihati jiran-jiran mereka supaya tidak berada di luar selepas pukul 8 malam sepanjang tempoh PKP Penuh.

“Ini usaha yang harus dihargai kerana membantu polis maka kita menasihati orang khususnya warga kota tidak berada di luar selepas pukul 8 malam sebab tiada tempat yang boleh dikunjungi sebab semua ditutup dan tiada keperluan merayau atas jalan,” ujarnya.

Ditanya mengenai hasil operasi khas malam tadi, Mohamad Zainal berkata, seramai 50 pegawai dan anggota berkenderaan MPV dan rondaan bermotosikal di seluruh ibu kota mendapati pergerakan manusia dan kenderaan sangat berkurangan hingga boleh dikira dengan jari.

Beliau menyifatkan ia sebagai satu kejayaan, barisan hadapan yang sedang berdepan cabaran melandaikan lekungan penularan Covid-19 di dalam negara.

Menurut beliau, ibu negara yang kebiasaannya sibuk dengan ramai pengunjung kini sunyi dan lengang pada hari kedua PKP Penuh dan arahan kerajaan telah dipatuhi sebilangan besar warga kota.

“Tiada seorang pun kelihatan merayau atau berjalan atas jalan raya di ibu kota. Kita tidak melihat seorang pun untuk dikeluarkan kompaun melanggar SOP kerana semua akur dan duduk di rumah masing-masing dan kadar pematuhannya boleh dikatakan 99 peratus.

“Sehingga hari kedua PKP penuh ini, kita hanya mengeluarkan 12 kompaun sejak semalam (kelmarin) atas pelbagai kesalahan memasuki premis membeli belah tanpa mengimbas kod QR MySejahtera, tidak memakai pelitup muka dan premis tidak menyediakan laluan masuk keluar yang mematuhi SOP yang ditetapkan MKN (Majlis Keselamatan Negara).

“Sehingga MITI siap dengan sistem surat kebenaran mereka, kita masih memberi kelonggaran pergerakan orang menggunakan apa jua surat seperti majikan sehingga sistem MITI berfungsi sepenuhnya tanpa masalah dan semua surat kebenaran itu selesai diedarkan kepada kesemua sektor yang diperlukan,” tegasnya.-MalaysiaGazette