Datuk Ir. Baharin Din

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) melanjutkan Pelan Bayaran Mudah sehingga 31 Disember ini bagi memudahkan pengguna domestik menguruskan pembayaran bil elektrik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, kerajaan juga telah mengumumkan pelanjutan pemberian diskaun bil elektrik sebanyak 10 peratus kepada beberapa sektor selama tiga bulan tambahan bermula Julai hingga September 2021.

“Kedai Tenaga pula masih beroperasi, namun dalam tempoh yang lebih singkat. Pengguna amat digalakkan menggunakan kemudahan transaksi dalam talian, antaranya menerusi portal dan aplikasi myTNB, untuk sebarang urusan TNB,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Baharin berkata, TNB akan terus menyampaikan perkhidmatan terbaik sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0).

Ujarnya, hampir separuh daripada 35,000 warga kerja TNB akan terus gigih memastikan 9.5 juta pelanggan mereka mendapat perkhidmatan terbaik.

Mereka termasuklah warga kerja teknikal di bahagian grid serta pembahagian yang turut melibatkan warga kerja yang melaksanakan kerja-kerja penyambungan dan pemulihan bekalan, jelasnya.

“TNB, secara berterusan menyokong usaha kerajaan memutuskan rantaian pandemik Covid19. Dalam tempoh lockdown ketika ini, pelbagai langkah telah dan sedang kami ambil bagi memastikan stesen-stesen janakuasa kami beroperasi dengan baik.

“Selain Penjanaan, warga kerja kritikal kami yang lain juga akan kekal bertugas bagi memastikan semua pengguna mendapat perkhidmatan dan bekalan elektrik yang berterusan serta stabil,” tambahnya.

Menurutnya lagi, pembacaan meter TNB turut berjalan seperti biasa sepanjang PKP kali ini manakala aktiviti pemotongan bekalan ditangguhkan sehingga 30 Jun 2021. – MalaysiGazette