KUALA LUMPUR – Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba tular mengenai lembu-lembu di Simpang Pulai, Perak yang dijangkiti virus.

Gambar-gambar itu dikongsi di aplikasi WhatsApp beserta pesanan ringkas “Ada virus baru. Jangan makan daging lembu buat sementara waktu. Jabatan haiwan masih buat kerja siasatan lagi.”

 

Menerusi pesanan sama, ia turut menyatakan lembu-lembu tersebut dikatakan diseludup dari Thailand.

 

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dalam satu kenyataan mengakui mengenai penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) ini namun menafikan lembu dijangkiti penyakit itu berada di Perak.

“Kita telah mengaktifkan program survelan bagi mengesan, mengawal dan mencegah penularan penyakit LSD pada ternakan lembu di seluruh negara.

“Setakat ini, sebanyak 81,252 ekor ternakan lembu di 9,108 premis/ladang telah diperiksa dan mendapati 89 ekor (0.1 peratus) menunjukkan gejala jangkitan LSD,” jelas kenyataan tersebut.

Penyakit LSD telah dilaporkan menular di beberapa negara Asia termasuk India, Bangladesh, Nepal, Bhutan, China, Chinese Taipei, Vietnam, Myanmar dan terkini di Thailand.

“Penyakit LSD disebabkan oleh virus Poxviridae dan boleh tersebar dalam kalangan ternakan lembu melalui gigitan vektor serangga seperti nyamuk dan sengkenit serta boleh berjangkit melalui rembesan air liur dan hidung ternakan lembu yang terjangkit.

“Tanda-tanda klinikal pada ternakan lembu terjangkit adalah nodular pada kulit di sebahagian atau keseluruhan tubuh lembu,” tambah kenyataan sama.

Biarpun masih tiada rawatan khusus untuk penyakit LSD, namun ternakan lembu yang terjangkit boleh diberikan rawatan bagi mengelak jangkitan sekunder menerusi pemberian antibiotik, anti-inflamatori dan vitamin.

Dalam pada itu, penyakit LSD terhadap lembu-lembu ini turut memberi kesan ekonomi apabila ramai terkesan khususnya industri penternakan lembu dan kerugian kepada penternak akibat penurunan pengeluaran susu pada lembu tenusu, penurunan berat badan, keguguran dan kemandulan kepada lembu pejantan.

“Sebagai usaha mencegah penularan penyakit LSD menerusi kemasukan ternakan lembu yang di import, Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga telah mengetatkan syarat import lembu hidup daripada luar negara.

“Dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) memperkemas kawalan di pintu masuk negara di sempadan Malaysia dan mengambil tindakan ke atas mana-mana konsainan lembu import yang menunjukkan gejala penyakit LSD di Stesen Kuarantin,” tambah kenyataan tersebut.