Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,, Khairy Jamaludin bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow meninjau PPV mega di Spice Arena, Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini.

BAYAN LEPAS – Kerajaan akan melancarkan program pemberian vaksin buat sektor perindustrian dalam tempoh dua minggu akan datang.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu sudah dibincangkan bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Khairy Jamaluddin (kanan) bersama Ketua Menteri Pulau Pinang,Chow Kon Yeow   selepas meninjau persediaan PPV di Spice Arena, Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini. 

“Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi sektor industri perkilangan akan dibuka di kawasan kilang bagi memudahkan pekerja yang bekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerima suntikan vaksin.

“Bagi Pulau Pinang, kita sudah kemuka cadangan kepada kerajaan negeri berhubung pembukaan PPV di kawasan industri Bayan Lepas serta Batu Kawan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas selepas meninjau persediaan PPV di Spice Arena di sini hari ini.

Khairy Jamaluddin (kiri) bersama Chow Kon Yeow meninjau PPV mega di Spice Arena, Bayan Lepas Pulau Pinang hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow serta Exco Kesihatan Pulau Pinang, Dr. Norlela Ariffin.

Mengulas mengenai tinjauannya, Khairy memberitahu, PPV Spice Arena itu merupakan PPV mega di Pulau Pinang dan akan mula beroperasi Isnin ini.

“Tempahan slot vaksin AstraZeneca di Pulau Pinang mendapat sambutan amat baik dan sebanyak 133,000 dos vaksin diberikan untuk pusingan pertama negeri ini.

“Bagi tiga hari pertama, kita sasar pemberian vaksin sebanyak 1,000 dos dan pemberian itu aka akan dinaikkan kepada 3,000 bagi hari biasa serta 2,000 dos pada hujung minggu,” ujarnya.

Khairy Jamaluddin bersama Chow Kon Yeow meninjau PPV mega di Spice Arena, Bayan Lepas di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Khairy berkata, pihaknya akan meneliti cadangan pembukaan pusat vaksin secara pandu lalu di Universiti Sains Malaysia (USM) seperti dicadangkan Dr Norlela.

“Saya akan melawat kawasan tersebut sebelum membuat penelitian lanjut, namun perlu ditegaskan di sini terdapat beberapa garis panduan tertentu bagi pembukaan pusat vaksin pandu lalu.

“Ia termasuk memastikan tidak berlakunya kesesakan trafik kerana setiap individu yang menerima suntikan perlu dipantau sekurang-kurangnya dalam tempoh 15 minit,” kata Khairy.

Dalam pada itu beliau menegaskan, pihaknya akan meningkatkan penghantaran bekalan vaksin kepada Pulau Pinang pada Julai dan Ogos ini bagi memastikan program pemberian vaksin kepada penduduk negeri ini dapat dipercepatkan.

“Saya akan berbincang dengan pihak kerajaan negeri berhubung jadual penghantaran vaksin dan sekiranya semua dipersetujui kita akan teruskan dengan perancangan tersebut agar vaksin yang dihantar itu disuntik kepada penerima bukannya disimpan,” kata Khairy. – MalaysiaGazette