Warga emas menerima suntikan vaksin Covid-19 sempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 31 MEI 2021.

JOHOR BAHRU – Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) Johor menafikan dakwaan bahawa tiada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kawasan Parlimen Pagoh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir yang diwakili Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut kenyataan CITF, Dewan Serbaguna Pagoh di Muar diluluskan sebagai PPV (bukan kesihatan) kedua di daerah itu pada 11 Mei lalu.

Mesyuarat Badan Bertindak CITF Johor pada 24 April lalu juga telah memaklumkan hanya Dewan Maharani dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah diluluskan oleh CITF Persekutuan sebagai PPV di Muar, katanya.

“Keputusan berdasarkan syarat yang ditetapkan CITF Persekutuan dengan sesebuah PPV boleh dibuka jika mempunyai sasaran jumlah pendaftaran vaksinasi di sesuatu kawasan dengan 8,000 orang dalam radius 10 kilometer.

“Bagaimanapun, pentadbiran daerah menerusi Pejabat Kesihatan Daerah juga mengambil inisiatif dan memohon pembukaan sebuah PPV di Pagoh bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di kawasan Parlimen Pagoh atas faktor jarak dan pengangkutan.

“Janji temu pertama ditetapkan pada 6 Jun ini dan lawatan ke tapak penyelarasan bagi pembukaan itu diadakan pada 31 Mei lalu membabitkan pelbagai jabatan yang menjadi Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, tiga wakil rakyat Pakatan Harapan mendakwa penduduk di Parlimen Pagoh dan DUN Gambir terpaksa membuat perjalanan jauh jika mahu mendapatkan vaksin kerana tiada PPV di situ. – MalaysiaGazette