Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bercakap selepas membuat pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ekoran Sekatan Pergerakan Penuh Fasa Pertama di Mid Valley, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 04 JUN 2021
Datuk Seri Hamzah Zainuddinr. Foto SYAFIQ AMBAK, 04 JUN 2021

KUALA LUMPUR – Desakan ahli-ahli Parlimen pembangkang mahu pun kerajaan agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuka sidang Dewan Rakyat dibidas Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, parti PKR sendiri tidak mengadakan Kongres Nasional secara bersemuka kerana bimbang akan berlaku penularan Covid-19.

“PKR dengan bangga nak buat kongres secara maya, maknanya mereka pun tidak berani nak buat perjumpaan seperti yang didesak buka Parlimen.

“Kalau sudah tidak boleh buat kongres secara berdepan tapi secara maya, kalau kita (sidang Parlimen) nak buka secara maya banyak masalah lain pula,” katanya kepada media hari ini.

Dalam pada itu, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kerajaan tidak membuka sidang Parlimen pada kerana mahu mengelak wujud kluster baharu Covid-19 di bangunan pentadbiran kerajaan itu.

Sekiranya Dewan Rakyat dibuka, katanya, ia akan dihadiri ribuan individu termasuk 220 ahli Parlimen serta pegawai-pegawai kementerian.

“Selalunya sidang akan bermula Isnin sehingga Khamis, empat hari berturut-turut itu berapa orang yang berada di Parlimen.

“Di antaranya ahli Parlimen, pegawai mereka, pegawai kerajaan, pegawai dan kakitangan Parlimen, pekerja kantin, pemandu ahli Parlimen dan yang lain itu ada dalam Parlimen.

“Ia melebihi 1,000 orang, ini menunjukkan bahawa jumlah itu berada di situ daripada jam 8 pagi sehingga 6 petang.

“Ini akan menjadi hotspot, kalau ini telah kita kawal sekarang maka tidak akan ada Kluster di Parlimen,” jelas Hamzah.

Kongres Nasional PKR 2020 membuka tirai hari ini dengan persidangan dibuat secara maya sepenuhnya susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Selasa lalu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pembukaan semula Parlimen akan membantu kerajaan dalam memerangi wabak Covid-19 dengan meningkatkan pemahaman rakyat mengenai dasar berkaitan wabak itu serta kepercayaan mereka terhadap kerajaan.

Ahli Parlimen Pengerang itu berpendapat pembukaan kembali Parlimen dapat membantu kerajaan mengatasi masalah pandemik dengan bukan hanya melawan virus, tetapi meningkatkan pemahaman rakyat tentang usaha-usaha kerajaan menangani pandemik itu.

Malah Azalina juga berkata, ahli-ahli Parlimen bertanggungjawab kepada pengundi di kawasan mereka dengan membantu menjelaskan dasar kerajaan berkaitan wabak itu.

Sebelum ini, ramai ahli-ahli Parlimen penyokong kerajaan mahupun pembangkang mendesak agar sidang Dewan Rakyat dibuka.

Antaranya Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan serta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast