KUALA LUMPUR – Hilang fokus dalam tempoh 10 minit terakhir menyaksikan skuad Harimau Malaya dibolosi tiga gol sebelum tewas 4-0 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi pertama baki Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Zabeel, Dubai, awal pagi tadi.
Kekalahan itu menyebabkan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe kini jatuh ke tangga keempat Kumpulan G meskipun terikat sembilan mata dengan UAE dan Thailand namun ‘tercicir’ dengan perbezaan gol.
Dalam perlawanan itu, tuan rumah jelas menguasai hampir keseluruhan permainan dan lebih menguji gawang negara menerusi percubaan Khalil Ibrahim pada minit keenam namun ditepis Farizal Marlias.
Malah memburukkan keadaan, tentera tengah negara pula lesu selain sering kehilangan bola oleh pemain negara membolehkan UAE melancarkan serangan hasil hantar bola jauh.
Hasilnya, penyerang sensasi tuan rumah Ali Mabkhout tenang enyambut hantaran terbabit sebelum dia mudah melambungkan bola melepasi kawalan Farizal pada minit ke-14 untuk gol pertama UAE.
Malaysia cuba bangkit dalam 10 minit terakhir babak pertama namun peluang terbaik yang hadir pada minit ke-42 disia-siakan selepas tandukan Guilherme de Paula jauh dari sasaran.
UAE terus memghukum skuad negara hampa selepas Fabio Lima meledak gol kedua pada minit ke-83 sebelum tuan rumah meledak dua lagi gol pada masa tambahan masing-masing menerusi Ali dan Lima. – MalaysiaGazette