Setiausaha PKN Selangor, Muhamad Shazlee Muhamad Nazlee

KUALA LUMPUR – Penggerak Komuniti Negara (PKN) menyambut baik langkah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membenarkan penjaja dan peniaga kecil terus beroperasi seperti biasa tanpa sebarang kerenah birokrasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurut Setiausaha PKN Selangor, Muhamad Shazlee Muhamad Nazlee, langkah itu sekaligus dapat meredakan kegelisahan masyarakat peniaga yang bimbang kehilangan sumber pendapatan apabila PKP penuh dilaksanakan sekali lagi.

“Timbul persepsi negatif yang menggusarkan kumpulan penjaja dan peniaga kecil terhadap situasi kehilangan pendapatan sekiranya tiada kebenaran menjaja sepanjang tempoh 14 hari PKP 3.0.

“Lebih membimbangkan jika mereka tertakluk kepada kebenaran beroperasi dan perlu mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan CIMS,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Rabu lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin dalam satu kenyataan berkata, penjaja-penjaja yang mempunyai permit kekal atau sementara daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak perlu untuk mendapatkan kelulusan CIMS.

Menurut Zuraida, komuniti peniaga yang majoritinya berasaskan makanan dan minuman itu hanya memadai dengan menunjukkan permit penjaja yang dikeluarkan oleh PBT.

Jelas Zuraida, sekiranya lokasi perniagaan mereka melibatkan pergerakan merentas daerah, mereka perlu mendapatkan kebenaran polis dengan mengemukakan bukti permit penjaja oleh PBT berkenaan.

Dalam pada itu, langkah KPKT itu juga memberi nafas lega kepada kumpulan peniaga kecil dan penjaja untuk meneruskan mata pencarian yang sebelum ini terjejas ketika PKP 1.0, Mac tahun lalu.

“Jaminan Menteri itu juga melegakan masyarakat penjaja yang majoritinya dalam kalangan B40 dan mereka ini bergantung sepenuhnya kepada jualan harian.

“Bagaimanapun mereka perlu mematuhi SOP sepanjang menjalankan operasi supaya dapat membendung penularan wabak Covid-19,” katanya lagi. – MalaysiaGazette