Anggota polis mengawal sekatan jalan raya biarpun waktu hujan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada Hari Raya Aidilfitri keempat bagi mengawal aktiviti rentas negeri di Plaza Tol Gombak, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 16 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Bagi meningkatkan penguatkuasaan dalam mengurangkan penularan Covid-19, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempertingkatkan Sekatan Jalan Raya (SJR) khususnya di Selangor serta ibu negara bermula hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata ia susulan bilangan kenderaan di sesetengah lokasi masih tidak berkurangan walupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh telah memasuki hari keempat, hari ini.

“Kita sudah membawa perkara ini dalam perbincangan dan memutuskan SJR serta pemantauan di seluruh negara akan dipertingkatkan mulai hari ini.

“Semalam saja sebanyak 930 SJR dan Ops Benteng dijalankan di seluruh negara dan kita akan pertingkatkan lagi di lokasi yang masih banyak jumlah kereta berdasarkan statistik diperoleh dua hari pertama sekatan pergerakan penuh berlangsung.

“Ia mungkin melebihi jumlah 1,000 sekatan pada setiap hari,” katanya selepas mengadakan lawatan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di sebuah pasar raya di ibu negara.

Buat masa ini, sejumlah 887 SJR dan 43 Op Benteng telah dilakukan setakat ini.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan pelaksanaan SJR dan Op Benteng serta pemantauan yang dilakukannya sendiri, Hamzah berkata, perkara itu masih belum mencapai apa yang dikehendaki beliau.

“Sampai 86,000 pemantauan dibuat di seluruh negara dan kita semak balik SJR. Kita tidak puas hati dengan jumlah pergerakan di atas jalan raya, jadi saya buat keputusan untuk tingkatkan SJR, begitu juga pemantauan di seluruh negara.

Kawasan tumpuan katanya akan difokuskan di seluruh Selangor dan Kuala Lumpur yang didapati masih terdapat jumlah kenderaan yang tinggi.

Ahli Parlimen Larut itu sebelum ini berkata, sekatan jalan raya di seluruh negara akan ditambah daripada 600 kepada lebih 800 sehingga arahan sekatan penuh dilaksanakan. – MalaysiaGazette