Dua lelaki enggan kerjasama dan provok polis ditahan

KUALA LUMPUR – Dua lelaki direman dua hari kerana enggan bekerjasama dengan polis semasa Operasi Covid-19 yang diadakan semalam di kawasan Pelangi, Damansara.

Ketua Polis IPD Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, ketika kejadian pada jam 11.35 malam, kedua-dua lelaki yang berada di bawah pengaruh alkohol tidak berpuas hati dengan tindakan polis menerusi operasi berkenaan.

Kedua-dua individu yang masing-masing berusia 26 dan 30 tahun itu turut melakukan provokasi terhadap pasukan polis yang bertugas dengan membuat bising di sekitar blok kediaman dengan mendakwa pihak polis menganiayai mereka.

“Mereka juga membuat provokasi dengan mengeluarkan kata-kata kesat serta mempertikaikan tugas pihak polis.

“Kedua-dua suspek ditahan reman selama dua hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jika disabit kesalahan kedua-dua suspek boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Selain direman, salah seorang daripada suspek dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 kerana tidak memakai pelitup muka semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Hasil siasatan polis, kedua-dua suspek mempunyak rekod lampau jenayah iaitu kesalahan mencuri (bagi suspek berusia 30 tahun), manakala suspek yang berumur 26 tahun pula pernah menyebabkan kecederaan dan melakukan ugutan jenayah, ujarnya. – MalaysiaGazette