Anggota polis memeriksa surat rentas negeri seorang pemandu semasa mengadakan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Ramai peniaga masih bertanya-tanya mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan sesetengah perkhidmatan penting masih gagal mendapat surat kebenaran beroperasi.

Mengeruhkan keadaan, sesetengah perniagaan yang menerima surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akhirnya diarahkan tutup.

Keadaan itu berlaku apabila terdapat kedai jualan telefon bimbit berjaya mendapat kelulusan beroperasi daripada MITI, tetapi akhirnya juga diarahkan tutup kerana hanya syarikat telekomunikasi (telco) dan bukannya kedai jual telefon yang boleh beroperasi.

Di Johor pula, terdapat kedai gadai menerima saman daripada Majlis Perbandaran Batu Pahat walaupun kedai gadai diumumkan boleh beroperasi.

China Press melaporkan, sesetengah perniagaan yang sebenarnya dibenarkan untuk beroperasi juga memilih untuk tidak berniaga buat sementara waktu untuk mengelakkan saman berikutan keadaan yang sangat mengelirukan.

Pengusaha dobi umpamanya dilaporkan dibenarkan beroperasi, tetapi ramai peniaga belum menerima surat kelulusan daripada MITI.

Keadaan itu menyebabkan banyak pengusaha di Kuala Lumpur dan Selangor memilih tidak berniaga, sekali gus menjejaskan operasi hotel yang memerlukan perkhidmatan mencuci cadar.

Selain itu, walaupun sepatutnya dibenarkan beroperasi, banyak kedai peralatan logam juga berdepan kemelut apabila gagal menerima surat kebenaran beroperasi.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Makmal Akreditasi Malaysia (PMAM), Louis Ooi berkata, selepas mengemukakan aduan, MITI telah menyelaraskan sistem untuk membenarkan ahli PMAM memohon kebenaran beroperasi.

Walau bagaimanapun, setakat pukul 5 petang pada Khamis, masih tiada ahli PMAM yang menerima surat yang ditunggu-tunggukan.

“Menurut pegawai, kerajaan boleh melakukan saringan ke atas permohonan 800 makmal dalam tempoh sehari.

“Walau bagaimanapun, kami masih tidak menerima apa-apa kebenaran untuk beroperasi,” katanya.