Mohammed Azman Aziz Mohammed.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memperluaskan perlindungan keselamatan sosial di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) kepada pekerja domestik.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, ia berkuatkuasa mulai 1 Jun lalu.

Peluasan itu membolehkan pekerja domestik yang sebelum ini tidak diliputi perlindungan keselamatan sosial PERKESO kini menerima perlindungan yang sama seperti pekerja dalam sektor formal yang lain, katanya.

Menurutnya, pekerja domestik adalah individu yang diambil bekerja untuk menguruskan kerja atau yang berkaitan dengan kerja bagi sesebuah rumah kediaman persendirian dan bukan diambil bekerja bagi apa-apa urusan melibatkan aktiviti perdagangan, perniagaan atau profesion yang dijalankan oleh majikan sama ada di dalam atau di luar rumah kediaman itu.

“Secara amnya, pekerjaan domestik dianggap sebagai profesion yang sering terdedah (precarious) kepada malapetaka disebabkan keadaan pekerjaan tersebut, termasuklah waktu kerja yang panjang, perlindungan keselamatan sosial yang tidak
mencukupi dan skop kerja yang luas.

“Seramai 104,400 pekerja domestik membabitkan 15,000 pekerja berstatus warganegara dan pemastautin tetap serta 89,400 pekerja warga asing dijangka menerima manfaat daripada inisiatif ini,” katanya pada sidang media yang dibuat secara maya hari ini.

Mohammed Azman berkata, peranan pekerja domestik tidak dapat dinafikan khususnya melibatkan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak, orang tua dan pengurusan rumah kediaman.

Lebih-lebih lagi kata beliau, ketika seluruh negara kini berdepan cabaran penularan wabak Covid-19, peranan pekerja domestik kepada isi rumah dilihat semakin penting apabila institusi pendidikan seperti sekolah, tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak diarahkan untuk ditutup sementara sebagai pematuhan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tambahnya, selain terdedah kepada risiko tinggi seperti jangkitan penyakit apabila menjaga golongan berisiko seperti orang tua dan orang sakit, pelaksanaan PKP yang mengehadkan pergerakan keluar orang ramai dari rumah masing-masing juga
menambahkan lagi bebanan kerja pekerja domestik.

“Prihatin dengan situasi tersebut, strategi peluasan pekerja domestik di bawah Akta 4 dan Akta 800 ini dilihat bertepatan dengan hasrat Kerajaan untuk mengiktiraf sumbangan pekerja domestik dalam memacu ekonomi negara dan memperjuangkan hak mereka untuk mendapatkan perlindungan keselamatan sosial yang sewajarnya.

“Perlindungan yang disediakan menerusi Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan di bawah Akta 4 serta Sistem Insurans Pekerjaan di bawah Akta 800 dapat memastikan pekerja domestik terus dilindungi apabila berlaku sebarang kemalangan atau kejadian tidak diingini semasa melakukan pekerjaan, keilatan, kematian dan kehilangan pekerjaan,”jelasnya.

Kata beliau lagi, perlindungan kepada pekerja domestik itu meliputi individu warganegara Malaysia, pemastautin tetap, pemastautin sementara dan warganegara asing.

Pekerja domestik berstatus warganegara, pemastautin tetap dan pemastautin sementara akan dilindungi oleh Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan di bawah Akta 4 serta Sistem Insurans Pekerjaan di bawah Akta 800,” katanya.

Mohammed Azman menambah, bagi pekerja domestik warga asing pula, mereka akan dilindungi oleh Skim Bencana Pekerjaan di bawah Akta 4 sahaja.

Kadar caruman yang perlu dibayar oleh majikan dan pekerja domestik pula bergantung kepada gaji bulanan seseorang pekerja domestik. Ia dibayar mengikut kadar yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga, Akta 4 dan Jadual Kedua, Akta 800.

“Pendaftaran majikan dan pekerja bagi perlindungan ini boleh dibuat mulai 16 Jun 2021 melalui portal ASSIST.

“KSM dan PERKESO percaya, peluasan liputan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja domestik ini juga akan dapat meringankan beban kewangan majikan dan pekerja domestik sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini kepada pekerja,” katanya. – MalaysiaGazette