Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri mengenai Pulau Batu Puteh pada 23 Mei 2018 adalah tertakluk kepada prinsip tanggungjawab kolektif Jemaah Menteri.

Pengerusi Perikatan Nasional itu menambah, walaupun perkara tersebut dibawa oleh mantan Perdana Menteri Ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam agenda hal-hal lain, ia tidak menghalang mana-mana anggota Jemaah Menteri untuk memberikan pandangan.

Menurutnya, apabila Jemaah Menteri telah membuat keputusan mengenainya, adalah menjadi tanggungjawab setiap anggota Jemaah Menteri untuk menerima keputusan tersebut secara kolektif.

“Tidak timbul soal Perdana Menteri mesti mengambil tanggungjawab secara peribadi atas keputusan yang dibuat oleh Kabinet. Ia adalah tanggungjawab bersama.

“Soal pengkhianatan kepada negara juga tidak timbul. Malah, adalah tidak wajar seorang bekas Perdana Menteri dihadapkan ke muka pengadilan semata-mata atas keputusan kerajaan yang disahkan oleh Kabinet semasa pentadbirannya dahulu.

“Jika ini berlaku, ia adalah satu duluan yang buruk untuk negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa Dr Mahathir membuat keputusan sendiri berhubung pengguguran rayuan negara dalam tuntutan Pulau Batu Puteh.

Dalam kenyataan bersama, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Anthony Loke berkata Dr Mahathir hanya memaklumkan kepada kabinet selepas keputusan tersebut dibuat.

Mereka merupakan anggota Kabinet PH, yang mana Wan Azizah menjadi timbalan perdana menteri, Mohamad pula adalah menteri pertahanan manakala Anthony Menteri pengangkutan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast