KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa telah membuat keputusan sendiri berhubung pengguguran rayuan negara dalam tuntutan Pulau Batu Puteh.sewaktu menjadi perdana menteri pada 2018.
Tiga pemimpin Pakatan Harapan menegaskan, keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran telah pun dibuat pada 21 Mei 2018 oleh Dr Mahathir sendiri secara bertulis kepada Peguam Cara Negara tanpa merujuk kepada Jemaah Menteri dan turut dimaklumkan kepada pihak Singapura pada pagi 23 Mei 2018 sebelum mesyuarat Kabinet pertama diadakan.
“Selang dua hari kemudian, setelah keputusan dibuat, barulah Tun Dr Mahathir memaklumkan Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet.
Ingin kami tekankan di sini, ianya hanyalah “pemakluman” di bawah agenda “Hal-hal lain” dan bukannya perbincangan untuk menentukan keputusan.
“Oleh yang demikian, tidak wujud isu sama ada sesiapa membantah atau menyokong kerana ruang untuk membuat keputusan telah pun hilang apabila ia telah dibuat secara bertulis oleh Tun Dr Mahathir,” kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu dan
Anthony Loke Siew Fook dalam satu kenyataan.
Menurut mereka, sebagai negarawan, mereka berpandangan Dr Mahathir sepatutnya mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas keputusan ini dan bukannya memilih untuk meletakkan di bahu mereka yang tidak terlibat.
“Kami yakin dan percaya anggota Jemaah Menteri yang hadir dalam Mesyuarat Kabinet pada 23 Mei 2018 boleh mengesahkan perkara ini,” ujar mereka.
Dalam satu sidang media baru-baru ini, Dr Mahathir menyifatkan syor siasatan jenayah terhadapnya berhubung Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Batu Puteh sebagai langkah bermotifkan politik untuk menjatuhkan reputasi beliau.
Tegasnya, keputusan untuk menarik balik permohonan semakan dan tafsiran Pulau Batu Puteh pada 23 Mei 2018 bukan dibuat oleh beliau secara bersendirian tetapi diputuskan bersama dalam mesyuarat Kabinet.
“Jika ini dianggap sebagai pengkhianatan, maka seluruh Kabinet pada ketika itu juga adalah pengkhianat termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap hasil laporan RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan sebagai pengkhianatan besar terhadap negara.
RCI mengesyorkan siasatan jenayah dimulakan terhadap Dr Mahathir kerana menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ), yang memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh. – MalaysiaGazette
















