Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO minta kerajaan mempercepatkan pemberian bantuan yang diumumkan menerusi pakej Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+).

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, bantuan itu sewajarnya diberikan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang bermula 1 hingga 14 Jun ini.

Kata beliau, oleh kerana rakyat sudah kehilangan dan berkurangan pendapatan, maka bantuan tunai sedikit sebanyak dapat membantu kelangsungan hidup rakyat.

“Kesimpulannya bantuan PEMERKASA+ ini hanya diberi selepas kira-kira dua minggu pelaksanaan Fasa Pertama ‘total lockdown’ berakhir. Waktu ini rakyat sudah hilang sumber pendapatan.

“Jadi, kenapa tidak berikan bantuan ini dalam tempoh dua minggu PKP penuh ini, walaupun kita tidak pasti sama ada jumlah itu mencukupi,” katanya menerusi Facebooknya semalam.

Pada 31 Mei lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan beberapa bentuk bantuan kepada rakyat yang berdepan dengan PKP penuh selama dua minggu dari 1 hingga 14 Jun ini.

Menurut Ahmad Zahid, ‘total lockdown’ yang dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) didefinisikan sebagai PKP yang lebih ketat.

Katanya, beliau tidak pasti sama ada itu definisi yang tepat, tetapi ia pendirian kerajaan PN mengenai ‘total lockdown’ yang perlu dihadam oleh rakyat.

“Rasanya belum terlalu lewat untuk mengulas mengenainya kerana bantuannya pun lambat lagi diterima. Sebenarnya ada beberapa persoalan di sebalik bantuan tersebut termasuk apabila sebahagiannya dilihat bersifat ‘accrual’ atau terakru.

“Terutama berhubung aspek bantuan tunai. Bantuan antara RM100 sehingga RM500 kepada yang layak hanya mula diberi pada hujung bulan Jun, manakala bantuan RM500 kepada pemandu pelancong, teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa, e-hailing pada Julai.

“Geran Khas Prihatin (GKP) sebanyak RM1,000 pula diberi kepada PKS pada pertengahan Jun dan RM500 lagi disalurkan pada Julai,” katanya.

Beliau berkata, pemberian moratorium automatik tiga bulan atau pengurangan 50 peratus bayaran balik secara ansuran pula hanya untuk beberapa golongan sahaja, antaranya B40 dan mereka yang hilang pekerjaan, tetapi bagaimana dengan golongan M40 yang pendapatan isi rumah terjejas?

“Bagaimana mereka mampu membayar pembiayaan peribadi, kereta, rumah dan sebagainya seperti biasa? Diskaun elektrik dan bekalan air bersih perlu juga diberikan kepada akaun kediaman bagi mengurangkan beban rakyat.

“Sebenarnya ada banyak lagi persoalan dibangkitkan oleh ramai pihak berhubung bantuan diumumkan itu. Justeru, saya harap segala keluh kesah rakyat diteliti agar kerajaan dapat memberi bantuan yang lebih menyeluruh.

“Bagi saya bantuan diumumkan belum dapat memastikan setiap golongan yang memerlukan dalam tempoh ‘total lockdown’ disentuh. Bagaimana rakyat dapat duduk tenang di rumah jika dapur tidak berasap, memikirkan rumah atau kereta mungkin disita pihak bank?,” soal beliau.

Atas sebab itu, kata Ahmad Zahid, beliau percaya belum masa untuk kerajaan menyatakan kini semuanya terserah kepada rakyat sama ada kes jangkitan Covid-19 dapat ditangani. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast