Ujian klinikal bagi mengkaji kesan penggunaan Ivermectin kepada pesakit Covid-19 sedang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).- Gambar hiasan ihsan Newsmax

KUALA LUMPUR – Ujian klinikal bagi mengkaji kesan penggunaan Ivermectin kepada pesakit Covid-19 sedang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ia dilakukan bagi melihat sejauhmana keberkesanan Ivermectin mampu mencegah penularan pandemik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihak kementerian dan dan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) telah memulakan ujian klinikal di 12 hospital.

Ia diberikan kepada 500 pesakit Covid-19 kategori 2 dan 3 yang berisiko tinggi dan berumur 50 tahun ke atas.

“Ianya bertujuan mengkaji keberkesanan Ivermectin dalam mencegah pesakit Covid-19 ini daripada menjadi lebih serius bagi kategori 4 dan 5 dan mengurangkan kematian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kajian itu telah diberi kelulusan oleh Jawatankuasa Kajian dan Etika Perubatan (Medical Research and Ethics Committee – MREC) pada 25 Mei lalu.

Kajian telah bermula pada 31 Mei lalu dan sehingga kini lapan pesakit telah didaftarkan terlibat dalam kajian yang sama.

Sebelum ini, menurut Dr. Noor Hisham, ramai mencadangkan penggunaan ubat Ivermectin – ubat anti-parasit yang diluluskan FDA dan kebiasaannya digunakan untuk haiwan dan  merawat beberapa penyakit tropika termasuk onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthiases.

Penggunaan off-label Ivermectin untuk Covid-19 mula mendapat perhatian global kerana terdapat beberapa kajian kes dan ujian klinikal yang menunjukkan keputusan yang baik.

Namun, katanya, belum ada bukti yang betul-betul meyakinkan bagi mengesyorkan penggunaan Ivermectin untuk Covid-19 di mana FDA sendiri tidak meluluskan penggunaannya dalam merawat atau mencegah koronavirus pada manusia.

Perkara itu telah dijelaskan oleh FDA dalam artikel yang bertajuk ‘Why You Should Not Use Ivermectin to Treat or Prevent COVID-19’ bertarikh 3 Mei 2021.

“WHO setakat ini hanya mengesyorkan penggunaan Ivermectin dalam ujian klinikal di mana pesakit perlu dipantau rapi oleh doktor pakar dan penyelidik yang berpengalaman untuk menjamin keselamatan dan keberkesanan,” katanya.- MalaysiaGazette