Filem terbitan Astro Shaw dan produksi Enjit-Enjit Semut iaitu Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa mendapat sambutan luar biasa apabila berjaya meraih kutipan melebihi RM1 juta dalam tempoh empat hari tayangan di Astro First.

KUALA LUMPUR – Filem terbitan Astro Shaw dan produksi Enjit-Enjit Semut iaitu Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa mendapat sambutan luar biasa apabila berjaya meraih kutipan melebihi RM1 juta dalam tempoh empat hari tayangan di Astro First.

Ini secara tidak langsung mengulangi kejayaan filem francais Kampong Pisang yang menemui penonton pada Ramadhan lalu iaitu 18 Puasa Di Kampong Pisang.

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, selepas kejayaan demi kejayaan tercetus daripada francias berkenaan mendorong pihaknya untuk terus persembahkan lebih banyak filem yang dilihat berpotensi sebagai karya terbaik.

“Kami yakin dengan adanya karya yang berkualiti dan menepati cita rasa penonton seperti filem Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa, ia akan terus memperkukuhkan kepercayaan penonton terhadap kualiti filem tempatan.

“Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penonton yang telah memberikan sokongan serta reaksi positif pada filem ini dan berharap agar mereka di luar sana yang masih belum menyaksikannya, tidak melepaskan peluang menonton karya istimewa daripada francais filem Kampong Pisang yang berkonsepkan muzikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Raja Jastina, pihaknya juga percaya filem tersebut dapat menghiburkan dan memberi semangat kepada penonton dengan jenaka serta lagu-lagu yang boleh dinyanyikan bersama.

“Sejajar dengan seruan kerajaan dan situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sekarang ini, kami juga harap filem-filem dengan pelbagai genre seperti komedi, seram, romantik di Astro First mampu sedikit sebanyak mengajak penonton kekal berada di rumah,” ujarnya.

Sementara itu, pengarahnya, Mamat Khalid menyatakan filemnya itu dilihat diterima oleh kebanyakan penonton.

“Pada kesempatan ini juga saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Astro yang sentiasa meletakkan kepercayaan kepada saya untuk mengetengahkan karya-karya yang dihasilkan.

“Sokongan padu daripada semua pihak ini menjadi penyuntik semangat untuk saya terus menghasilkan lebih banyak karya-karya berbeza dan menarik. Insyallah, nantikan di masa akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, filem 18 Puasa Di Kampong Pisang pula telah mencatat kutipan sebanyak RM5 juta sepanjang tujuh minggu tayangan di saluran Astro First. – MalaysiaGazette