Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa melihat proses pelaksanaan Program Saringan Komuniti Bersasar Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di PA Seri Sabah 3A, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 05 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan akan mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi mencapai imuniti kelompok menjelang penghujung Ogos ini.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, ketika ini kira-kira 7,000 sehingga 9,000 individu menerima vaksin setiap hari dan jumlah itu perlu dipertingkatkan antara empat ke lima kali ganda untuk mencapai sasaran.

Menurutnya, perbincangan sudah dibuat bersama kerajaan dan pihak berkaitan bagi memastikan proses vaksinasi di Wilayah Persekutuan dapat dipercepatkan.

Bagaimanapun apa yang dibimbangi adalah kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk mendaftar program berkenaan sekaligus menyukarkan usaha mencapai sasaran ditetapkan.

“Oleh itu langkah pertama yang perlu dilakukan adalah memastikan semua penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan supaya mendaftar PICK yang membolehkan mereka mendapatkan vaksinasi.

“Putrajaya sudah mencapai 100 peratus pendaftaran manakala Kuala Lumpur lebih kurang 70 peratus iaitu terdapat kira-kira 30 peratus lagi belum mendaftar, sementara di Labuan pula 60 peratus sudah mendaftar dan 40 peratus belum mendaftar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Program Saringan Komuniti Bersasar Covid-19 Kit Ujian Pantas Antigen (RTK-Ag) di Perumahan Awam Sri Sabah di sini, hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, semua pihak perlu melipatgandakan usaha dalam melaksanakan program vaksinasi termasuk keupayaan mendapatkan bekalan vaksinasi yang mencukupi.

Dalam perkembangan lain, beliau akan membuat pengumuman minggu depan mengenai bantuan-bantuan yang boleh diberikan kepada peduduk di Wilayah Persekutuan terutama yang terjejas dengan Covid-19.

Ujarnya, ketika ini pihaknya masih lagi melihat secara terperinci berhubung beberapa perkara berkaitan ruang yang boleh untuk membantu rakyat.

“Satu lagi fasa bantuan-bantuan kita akan berikan… yang pastinya kita di Wilayah Persekutuan akan membantu rakyat.

“Jadi, pertengahan minggu depan saya akan buat kenyataan yang khusus dan saya akan memperincikan bantuan-bantuan tambahan selain, memperbaiki delivery system kepada PEMERKASA tambahan yang telah diumumkan baru-baru ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast