Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR – Kerajaan didesak agar menyegerakan pemberian vaksin sepenuhnya bagi mengatasi penularan Covid-19.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kemarahan rakyat jelas semakin jelas apabila Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) semakin perlahan.

“Rakyat menaruh harapan apabila diperintahkan untuk mengawal pergerakan diikuti dengan pelbagai SOP dikuatkuasa pula perintah darurat.

“Janji pemberian vaksin 150,000 sehari dengan anggapan apabila memenuhi segala permintaan, akhirnya nanti akan memberi kelegaan dan mampu membebaskan negara daripada pandemik Covid-19,” katanya dalam ucapan dasar AMK dalam Kongres Nasional tahunan AMK PKR 2020 secara maya hari ini.

Akmal Nasir berkata, kerajaan jelas mengamalkan sikap dua darjat yang memberikan kesan kepada perjuangan petugas barisan hadapan.

“SOP yang tunggang langgang, cakap tak serupa bikin, flip flop dan u turn malah menteri-menteri seolah-olah mula memperli dan memperlekehkan antara satu sama lain,” katanya.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu juga berkata, tiada ketelusan dan akauntabili dalam menguruskan pandemik Covid-19 juga menjurus kepada kegagalan kerajaan sekarang.

Menurut beliau, sistem pengurusan yang huru hara jelas membuktikan ketidakcekapan dan tidak kompeten kerajaan dalam membuat keputusan.

“Tidak hairanlah apabila rakyat mula bangkit bersuara, menegur, membantah dan tidak kurang juga marah terhadap kerajaan Perikatan Nasional secara terang terangan hingga keluar hashtag kerajaan gagal sudah menjadi kempen terbuka besar-besaran rakyat Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette