DIKIR Barat adalah satu persembahan budaya bagi rakyat Kelantan. Ia dimainkan secara berkumpulan oleh mereka yang mahir dan petah dalam mereka-reka bait-bait lagu sehingga menjadi satu kesenian yang diminat oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Dari kecil, dewasa hingga ke usia warga emas, bila mendengar lagu dikir barat, mereka akan menjadi begitu asyik, malah boleh menghafal setiap lirik dengan lenggok tubuh mengikut irama yang dipadankan dengan sentuhan alat muzik.
Dikir Barat ini mula terkenal di awal tahun 60-an, walaupun kemunculannya lebih awal daripada itu. Biasanya, persembahan ini diadakan di kawasan lapang bermula jam 12 tengah malam hingga menghampiri Subuh.
Orang ramai, terutama peminat tidak pernah berganjak walaupun sudah larut malam. Ini kerana mereka asyik dengan lagu-lagu juara yang disampaikan oleh Tukang Juara (penyanyi utama).
Lebih mengasyik apabila tiba bab lagu mengarut yang disampaikan oleh dua Tukang Karut secara berlawan dari dua kumpulan dikir. Mereka menyampaikan lagu karut secara saling bertikah.
Tukang Karut dari kumpulan A memberi soalan dan dijawab oleh Tukang Karut kumpulan B dengan maksud dan makna yang tepat atau sipi-sipi. Ini yang membuatkan penonton terpaku serta seronok dengan persembahan dikir barat.
Dahulu, sekitar 60-an, 70-an, 80, dan 90-an, persembahan dikir barat ini diserikan dengan nama-nama tersohor yang bergelar Seman Wau Bulan, Hussin Gelang Mas, Daud Bukit Abal, Salleh Jambu, Jusoh Kelong, Ariffin Ana, Dollah Tok Deh dan Awang Ikan Duyung.
Dikir barat juga diserikan oleh nama-nama seperti Ismail Gunung Ganang, Ismail Baju Jarang, Megat Nordin, Mat Udi, Cikgu Naim dan Jen Endoro.
Namun, ada antara mereka telah meninggal dunia dan tidak kurang dalam keuzuran akibat usia, menyebabkan nama yang menghidupkan kesenian dikir barat tidak kedengaran lagi.
Khuatir persembahan dikir barat akan lenyap, bangkit minat seorang anak muda, Supian Hassan untuk mengabdikan seni dan budaya Kelantan ini dalam bentuk buku, agar ia menjadi pedoman kepada generasi akan datang.
Supian yang lebih dikenali dengan nama dikirnya, Supian Hanuman Ikan merupakan seorang penggiat seni yang terkenal dalam dunia Dikir Barat.
Walaupun dia seorang penjawat awam – pegawai kerajaan yang sibuk dengan tugasan hakiki – tetapi telah mengorbankan banyak masa dan usianya demi menghidupkan kesenian itu. Ini didorong dengan pemberian semangat dari isteri, anak-anak dan keluarganya.
Beliau melibatkan diri secara serius mulai awal tahun 90-an dengan menulis lirik lagu Juara dan lagu Karut, malah penyanyi bagi lagu-lagu Juara serta lagu-lagu Karut bersama penama tersohor itu.
Kebanyakan lagu dan lirik ciptaannya dinyanyikan oleh Megat Nordin (Allahyarham), Mat Glamour, Setapa Merak Mas, Mat Jeng Keseng, Norma Dahlia, Fendy Ayam Serama, Rizal Ranjuna, Raden Mas Uji dan ramai lagi.
Sepanjang penglibatannya, beliau telah mencipta beratus lagu dan lirik untuk genre lagu Juara dan lagu Karut, bahkan beliau sendiri menyanyikan lagu-lagu dari dua genre itu sama ada untuk persembahan, mahupun rakaman dalam bentuk cakera padat (CD).
Banyak lagu-lagu ciptaannya berkumandang di corong radio, diputar dalam pemain CD kenderaan, dinyanyikan oleh kumpulan-kumpulan dikir di seluruh Kelantan dan Malaysia amnya.
Malah, banyak juga sekolah-sekolah rendah dan menengah menubuhkan pasukan dikir barat dengan mengambil lagu-lagu tersohor ciptaan Supian Hanuman Ikan untuk didendangkan di khalayak terutama pada mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Kemasyhuran ini tidak menjadikan beliau seorang yang meninggi diri, sebaliknya sentiasa memikirkan bagaimana untuk memastikan kesenian dikir barat ini tetap hidup dan diminati sepanjang zaman seperti filem dan lagu-lagu nyanyian serta ciptaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Atas inisiatifnya, bekas Ahli Jawatankuasa Persatuan Penulis Tumpat (Pesisir) ini mengabdikan kira-kira 100 lirik lagu dikir barat terpilih ciptaannya untuk dibukukan.
Usaha Supian Hanuman Ikan ini mendapat perhatian dan kerjasama dari Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan.
Usaha beliau juga menarik minat Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan, Datuk Md. Anizam Abdul Rahman untuk melancarkan kerja menyiapkan buku itu.
Akhirnya, atas kegigihannya, sebuah buku sulung yang mengandungi 100 lirik lagu dikir barat siap untuk cetakan pertama. Buku itu diberi tajuk, “Lirikku Lukisan Jiwaku”.
Tajuknya mengandungi 1001 makna, yang merangkumi, yang mengumpulkan segala jerih perih usahanya dan diterjemahkan dalam buku berkenaan.
Menurut Supian Hanuman Ikan, buku itu beserta dengan satu CD yang mengandungi 12 lagu dikir barat dijual kepada umum dengan harga RM50.
Katanya, harga buku “Lirikku Lukisan Jiwaku” berharga RM30, manakala CD dikir barat dengan tajuk “Kaki Dikir” dijual pada harga RM20.
“Saya berharap buku dan CD ini, diterima oleh peminat dan penggiat seni tanah air. Sama-sama kita doakan agar seni dikir barat ini tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.
“Saya juga ucapkan jutaan terima kasih kepada dua Exco Kerajaan Kelantan, YB Md. Anizam dan YB Dr. Mohamed Fadzli atas sokongan padu mereka dan kerajaan negeri serta penulis dan penyair Leo A.W.S yang memberi kerjasama penuh menerbitkan buku ini.
“Terima kasih juga kepada Mohd Jazli Hassan, yang menjadi pencetus idea untuk saya membukukan hasil tulisan lirik ini, serta ribuan penghargaan kepada pembaca dan pembeli buku,” katanya mengakhiri perbualan dengan MalaysiaGazette.
Kepada yang berminat mendapatkan buku “Lirikku Lukisan Jiwaku” dan CD dikir barat “Kaki Dikir” boleh hubunginya di talian 017-941 0412 untuk tempahan. – MalaysiaGazette