KUALA LUMPUR – Memandangkan lebuh raya adalah perkhidmatan perlu, operasinya termasuk kawasan Rawat dan Rehat (R&R) dibuka 24 jam kecuali kedai makanan dan minum yang terhad antara 8 pagi hingga 8 malam.

Makanan dan minuman bungkus sahaja dibenarkan.

Setakat ini, tiada R&R di kawasan utara yang ditutup.

Mengikut laman sesawang PLUS, pembukaan kedai makanan dan minuman serta kedai serbaneka itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan penuh yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Untuk memudahkan pengguna lebuh raya, ia turut menyediakan pra-pesanan menerusi aplikasi PLUS.

Artikel berkaitanMB pi jengok kereta tu, bukan pi nak beli – Setpol

Polis siasat dakwaan MB Kedah ‘test drive’ kereta ketika PKP Penuh

Maklumat ini diperoleh MalaysiaGazette yang menghubungi hotline PLUS selepas ada netizen yang mempertikaikan penutupan R&R di Juru seperti yang didakwa oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah.

Afnan Hamimi Taib Azamuddin mendakwa Muhammad Sanusi Md Nor berhenti di Juru kerana hendak membeli makanan sebelum masuk lebuh raya kerana R&R tutup.

Jadi, menteri besar itu siap-siap bekal untuk makan dalam perjalanan, katanya.

Isu ini timbul selepas tular di media sosial yang mendakwa menteri besar melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan memandu uji kereta di sebuah pusat pameran kereta di Juru, Pulau Pinang.

Kenyataan tentang R&R ditutup itu disangkal oleh warga maya, sekali gus mempertikaikan jawapan yang diberikan oleh Afnan.

Menurut laman sesawang PLUS, walaupun kedai makanan, minuman dan kedai serbaneka ditutup jam 8 malam tetapi surau, tandas awam, stesen minyak masih beroperasi 24 jam.

Difahamkan kemudahan ini dibuka 24 jam untuk memudahkan orang ramai  menggunakannya terutama pemandu pengangkutan sepanjang lebuh raya.

Kalau ditutup pun ketika kerja-kerja pembersihan dan sanitasi dijalankan. – MalaysiaGazette