TASEK GELUGOR – Tindakan pemilik sebuah syarikat habuk kayu yang menipu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk mendapatkan kebenaran beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh (total lockdown) terbongkar semalam.
Pengisytiharan tipu itu terbongkar selepas polis menahan seorang pemandu lori ketika melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) pemantauan pematuhan SOP PKP (3.0) bagi membendung wabak Covid-19 pada jam 10.30 pagi di Jalan Ara Kuda, di sini.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu mengemukan surat kebenaran MITI yang mana syarikat mengisytiharkan sebagai perkhidmatan perlu beroperasi (essential).

“Mereka isytihar membuat alat pelindung diri (PPE) termasuk pelitup muka dan sarung tangan getah serta peralatan keselamatan kebakaran, namun pemeriksaan ke atas lori itu mendapati membawa muatan habuk kayu.
“Susulan itu, satu kompaun berjumlah RM10,000 dikeluarkan ke atas pemilik syarikat yang berpangkalan di Sungai Petani, Kedah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Sehubungan itu, Noorzainy mengingatkan majikan agar tidak manipulasi jenis perniagaan untuk mendapatkan kebenaran beroperasi daripada MITI dalam tempoh SPP.
“Tindakan undang-undang menanti mereka yang sengaja beroperasi walaupun bukan perkhidmatan yang memerlukan ketika ini.
“Selain itu, kita juga memperketatkan pemeriksaan di semua SJR dalam daerah SPU bagi memastikan tiada pergerakan rentas daerah serta negeri berlaku dalam memastikan rantaian penularan Covid-19 diputuskan,” jelas Noorzainy. – MalaysiaGazette

















Bukan syarikat tu shj yg perlu disiasat..PEGAWAI² MITI YANG TERBABIT MEMBERI KEBENARAN JUGA PERLU DISIASAT. Kami dh bosan dan bengang dgn semua ni