Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Fokus UMNO adalah untuk rakyat dan negara, oleh itu sesiapa yang melakukan tindakan yang tidak mendatangkan manfaat terbaik kepada negara akan terus ditegur, dikritik, malah ditentang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tanggungjawab moral ini wujud dan mesti dilaksanakan.

Lantaran itu, UMNO akan terus menegur dan tidak boleh membisu demi kebaikan bersama.

Menurutnya, walaupun wujud respons yang mempersoalkan kritikan UMNO kerana parti itu menjadi sebahagian Kerajaan Perikatan Nasional (PN), UMNO ada hak, tugas dan tanggungjawan moral untuk memastikan pemimpin PN dan PN secara umumnya melakukan terbaik untuk rakyat.

”Bukan sekadar menegur, UMNO berhak menarik diri jika keadaan tidak menjadi lebih baik,” kata beliau sambil menambah ini kerana UMNO adalah parti terbesar yang membentuk PN.

Tambahnya, pertikaian terhadap kritikan UMNO ke atas PN hanya membenarkan mentaliti ‘sekapal’, ‘satu gang’ dan ‘sama sahaja’.

Mana-mana pihak tidak boleh membudayakan sikap berdiam diri atas mana-mana tindakan yang tidak bermanfaat hanya kerana yang melakukannya itu adalah dari kalangan mereka.

Tegas beliau, UMNO tidak boleh bersikap demikian kerana seekor kerbau membawa lumpur, semua terpalit.

”Tiga, Rasulullah SAW mengajar, berkatalah benar sekali pun pahit. Saya melihat konteks berkata benar ini termasuklah menegur dan membetulkan mereka dari kalangan pasukan atau ahli kita sendiri. Sebab itu ia pahit.

”Janganlah kesalahan orang sebesar kuman di sebarang laut kita nampak. Salah rakan sendiri sebesar gajah di depan mata, kita boleh tersepak,” ujarnya. – MalaysiaGazette