Azrul (tengah) berbual dengan pihak terlibat dalam membenarkan syarikat kurier menghantar barang di kawasan PKPD Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini.

BAYAN LEPAS –  Syarikat perkhidmatan kurier dibenarkan menghantar barang di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mukim 12 Daerah Barat Daya di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, insiatif itu dilakukan susulan 800 kiriman bungkusan dilaporkan gagal dihantar kepada pemiliknya.

Jelas beliau, bagi memudahkan penduduk mendapatkan kiriman bungkusan mereka dua khemah khas didirikan sebagai check point penghantaran.

Azrul.

Dua lokasi itu adalah di Sekatan Jalan Raya (SJR) Jalan Kampung Bukit iaitu bagi syarikat kurier selain J&T Express manakala SJR Jalan Dato Ismail Hashim bagi J&T Express.

“Penghantaran akan dibuat bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari bagi kurier selain J&T Express manakala bagi J&T Express ia dibahagikan kepada dua sesi iaitu bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari serta 2 hingga 6 petang.

“Hanya penduduk yang tidak memakai gelang pink (merah jambu) dibenarkan mengambil kiriman di SJR ditetapkan.

“Bagi mereka yang dikuarantin tidak dibenarkan keluar dari kediaman untuk sebarang urusan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas lanjut, Azrul berkata, pihak syarikat penghantaran bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan kawalan kesesakan di lokasi pengambilan kiriman bungkusan.

“Pusat Kawalan Operasi Bencana berhak membatalkan inisiatif ini sekiranya berlaku ketidakpatuhan SOP ketika pengambilan kiriman bungkusan dilakukan.

“Bagiamanapun, penduduk dinasihatkan mendapatkan barangan keperluan dari premis-premis perniagaanyang beroperasi dalam kawasan PKPD,” ujar beliau.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan sebanyak 13 lokaliti di sekitar Pekan Bayan Lepas, Mukim 12 Barat Daya terbabit dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 4 hingga 17 Jun depan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang berkata, pelaksanaan PKPD itu melibatkan kawasan seluas 35 hektar dengan 2,380 unit kediaman serta 83 buah premis komersial. – MalaysiaGazette