Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib foto FAREEZ FADZIL, 18 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Sembilan individu dikenakan kompaun oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana melakukan kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) berikutan berjoging di taman awam semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, lima kompaun dikeluarkan di Taman Tasik Seksyen 7 manakala empat lagi di Taman Seksyen 14, Shah Alam.

“Masyarakat umum terutama di Shah Alam adalah dimaklumkan aktiviti joging secara individu hanya dibenarkan di taman kejiranan yang mana 10 kilometer radius dari alamat rumah masing masing.

“Tindakan merentasi had tersebut bagi tujuan itu adalah tidak dibenarkan sama sekali di bawah SOP MKN (Majlis Keselamatan Negara) bagi tempoh 1 hingga 14 Jun,” katanya menerusi kenyataan.

Tindakan itu dibuat mengikut Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976 atas kesalahan beriadah di kawasan awam dalam tempoh PKP menyeluruh.

Pemantauan dijalankan bersama antara polis dan penguat kuasa MBSA antara pukul 7.30 hingga 10 pagi. – MalaysiaGazette