aplikasi mysejahtera
Gambar hiasan.

DALAM masa dua bulan mendatang, negara kita dijangka menerima 16 juta dos vaksin Covid-19. Ini selari dengan impian kerajaan yang  menyasarkan kadar vaksinasi harian mencecah 150,000 bermula penghujung Jun 2021 dan akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

Bukan itu sahaja, Pusat Pemberian Vaksin atau PPV juga sedang ditambahbaik dari segi kuantitinya di seluruh negara. Setakat hari ini, sudah ada 280 PPV yang beroperasi di seluruh negara, dan dijangka bertambah kepada lebih 300 buah PPV dalam masa terdekat.

Pada dasarnya, proses pelaksanaan program imunisasi ini telah menunjukkan kemajuan yang ketara. Bermula dari 5,000 hingga 8,000 suntikan setiap hari pada awal-awal program, kini jumlahnya sudah berlipat kali ganda iaitu kira-kira 100,000 suntikan sehari.

Untuk tiga bulan pertama program imunisasi ini digerakkan, seramai 1,128,738 individu telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 sehingga 5 Jun lalu.

Setakat tarikh yang sama juga, sebanyak 52.3 peratus atau 12,683,764 individu telah mendaftar untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), dengan Selangor mencatat jumlah pendaftaran tertinggi seramai 3,353,308 orang.

Melihat kepada perkembangan proses dan usaha pemberian vaksinasi ini, tidak mustahil dua atau tiga bulan depan, proses menerima suntikan vaksin Covid-19 ini menjadi semakin cepat berbanding sekarang.

Justeru angka 52.3 peratus yang baru mendaftar untuk menerima vaksin ini dilihat kurang selari dengan perkembangan penambahbaikan proses memberi vaksin.

Oleh sebab itu langkah untuk mengkaji semula proses pendaftaran sedia ada wajar dilakukan segera. Mungkin bermula bulan hadapan atau setelah kita menerima 16 juta dos baharu vaksin Covid-19 nanti, pendaftaran secara automatik perlu diperkenalkan.

Kita perlu akui, bukan semua yang belum mendaftar itu tergolong dalam kalangan mereka yang anti-vaksin atau membantah usaha vaksinasi ini. Ramai juga dalam kalangan mereka yang berada di luar bandar, kampung-kampung pedalaman dan warga emas yang tidak terdaya untuk menggunakan kaedah teknologi canggih untuk mendaftar.

Terdapat juga dalam segelintir mereka yang masih mengambil tindakan ‘nanti dulu’ atau mahu melihat dulu perkembangan vaksinasi ini, sebelum mereka mengambilnya.

Daripada kita mengeluarkan lebih banyak perbelanjaan untuk proses kempen, ‘task force’ dan sebagainya, elok juga Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menggunapakai kaedah pendaftaran secara automatik.

Tiga bulan pertama ini mungkin sesuai untuk kita amalkan cara pendaftaran sukarela kerana kita masih di peringkat awal dan masing-masing masih belum punya pengalaman disuntik vaksin jenis baharu ini.

Namun setelah tiga bulan PICK dan melangkah ke fasa kedua serta ketiga sekarang ini, sudah tiba masanya untuk tindakan lebih menyeluruh diambil pihak berwajib.

Setakat hari ini, kerajaan menggunapakai lima kaedah pendaftaran vaksin termasuk menggunakan aplikasi Mysejahtera, daftar secara hotline dan di laman web KKM, namun semua ini menggunakan teknologi canggih yang mungkin menyukarkan warga emas dan mereka di pendalaman.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga melaksanakan kaedah melakukan senarai nama pesakit kronik dirawat sama ada di klinik kesihatan, hospital awam atau hospital swasta untuk dipanggil janji temu vaksin.

Tambah Dr Adham lagi, selain itu negara kita juga turut mengambil inisiatif melaksanakan kaedah pendaftaran secara bersemuka dengan pergi ke kawasan pedalaman dan sukar dicapai.

Ini dilakukan Pejabat Daerah dan Ejen Basmi Covid-19 (ABC) yang diselia Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan menggunakan pasukan PPV bergerak.

Untuk mereka yang masih was-was dengan suntikan vaksin Covid-19 dalam konteks hukum agama, kita perlu rujuk kepada resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-10 yang bersidang pada 3 Disember 2020 yang memutuskan hukum umat Islam mengambil vaksin ini adalah harus dan
wajib.

Keputusan ini adalah selari dengan dalil seperti firman Allah Ta'ala (yang bermaksud) 'Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil)' melalui Surah Al-Baqarah ayat 195.

Malah sebuah hadis diriwayatkan oleh Abu Sa'id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, 'Tidak boleh melakukan sesuatu yang memudaratkan dan tidak boleh memberikan mudarat kepada orang lain' seperti diriwayatkan Ibn Majah.

Semoga kita semua tergolong dalam kalangan mereka yang tidak memberi mudarat kepada orang lain dan mampu menyumbang kepada pembentukan imuniti kelompok bagi melawan pandemik Covid-19.

Sarfarizmal Saad
Bekas Ahli Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast