Gelagat orang utan ketika tiada pengunjung berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Zoo Negara, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) meluluskan dana segera berjumlah RM179,426 sebagai peruntukan awal Bantuan Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar kepada 10 premis zoo dan Pameran Tetap (ZPT) yang terjejas teruk dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Menterinya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, peruntukan tersebut dari Akaun Amanah Konservasi Biodiversiti di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Menurutnya, Bantuan Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar pada kali ini adalah berdasarkan permohonan bagi keperluan segera oleh 10 premis ZPT berkenaan.

Katanya, sejak PKP pertama pada bulan Mac 2020 yang lalu, KeTSA telah menyediakan pelbagai inisiatif melalui penyaluran bantuan kepada sektor di bawah kawalan Kementerian yang terjejas.

Bagi membantu penyewa tanah Persekutuan dan penyewa ruang bangunan Kerajaan Persekutuan, inisiatif pemberian diskaun kepada penyewa-penyewa ini yang diberikan sehingga 30 Jun 2021, akan diteruskan untuk tempoh enam bulan bermula 1 Julai 2021 sehingga 31 Disember 2021.

Inisiatif kepada penyewa-penyewa tanah dan ruang bangunan Persekutuan tersebut diharap dapat membantu meringankan beban disebabkan pelaksanaan PKP 3.0 ini di samping memberi ruang untuk penyusunan semula aliran tunai bagi mengekalkan perniagaan mereka di atas tanah atau ruang bangunan Persekutuan.

Semasa PKP pada tahun 2020, sejumlah RM3.9 juta peruntukan daripada kerajaan dan RM500,000.00 daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah program tanggungjawab sosial korporat disalurkan secara berperingkat kepada 25 ZPT yang terjejas bermula Mei 2020. – MalaysiaGazette