Penduduk London meletakkan bunga di lokasi insiden empat orang Islam dirempuh pikap.

TRENTON, Kanada – Perdana Menteri, Justin Trudeau melahirkan kesedihan berikutan kematian empat sekeluarga Islam yang terbunuh akibat dirempuh pikap secara sengaja di London, Ontario.

“Saya berasa takut dengan berita dari London, Ontario,” kata Perdana Menteri itu dalam akaun Twitter.

“Kepada mereka yang tersayang yang berhadapan keganasan akibat tindakan kebencian semalam (Ahad), kami berada di sini untuk bersama-sama anda.

“Tiada tempat untuk Islamophobia dalam sebarang komuniti kita. Kebencian ini adalah penipuan dan hina dan ia perlu berhenti,” katanya

Ahli keluarga lain, seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun, juga dirempuh dan dia berada dalam keadaan kritikal di hospital namun tidak mengancam nyawa.

“Kita di sini untuk bersama kanak-kanak itu yang masih berada di hospital, hati kami bersama anda dan anda sentiasa di fikiran kami ketika anda pulih,” kata Trudeau.

Ketika nama mangsa tidak didedahkan, polis berkata, mangsa yang meinggal dunia ialah dua wanita berusia 74 tahun dan 44 tahun, seorang lelaki berumur 46 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun.

Polis berkata, pemandu itu ditahan sejurus selepas itu, kira-kira tujuh kilometer daripada tempat kejadian.

Nathaniel Veltman, 20, menghadapi empat pertuduhan membunuh dan satu pertuduhan cuba membunuh, kata polis.

Terdapat bukti ia dirancang dan keluarga itu menjadi sasaran kerana kepercayaan Islam mereka,” kata Polis London, Inspektor Paul Waight pada sidang media.

Pada sidang media yang dilakukan secara maya itu, Datuk Bandar London turut mengecam jenayah tersebut.

“Biar saja perjelaskan, ia tindakan pembunuhan secara beramai-ramai terhadap Muslim terhadap penduduk London dan berakar umbi daripada kebencian,” kata Ed Holder

London yang mempunyai penduduk seramai 405,000 orang terletak kira-kira 200 kilometer barat daya Toronto.

Polis berkata, keluarga tersebut sedang berjalan kaki dan berhenti untuk melintas di simpang apabila sebuah pikap merempuh mereka. – MalaysiaGazette