Penggunaan katil bagi kes kritikal di seluruh negara semalam menunjukkan bawah 50 peratus.

KUALA LUMPUR –  Kadar penggunaan katil pesakit Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) telah meningkat dari 96 peratus pada 24 Mei 2021 hingga 104 peratus pada 6 Jun lalu.

“Kadar penggunaan katil ICU yang melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan di mana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah hari ini.

Dalam satu kenyataan, beliau menambah, hospital-hospital di seluruh negara sedang berhadapan dengan peningkatan kes Covid-19 bergejala serius (Kategori 4 dan 5) yang memerlukan bantuan oksigen dan bantuan alat pernafasan khususnya dalam kalangan golongan rentan seperti warga emas dan pesakit yang menghidap lain-lain penyakit (co-morbidity).

Jelas beliau, pesakit-pesakit itu memerlukan tempoh pemulihan yang lama untuk sembuh disebabkan komplikasi yang serius daripada jangkitan Covid-19.

Menurutnya, statistik yang diterima oleh CPRC Kebangsaan menunjukkan purata tempoh rawatan bagi Kategori 4 adalah di antara 14 hari ke 16 hari manakala bagi pesakit Kategori 5 pula, tempoh rawatan adalah selama 19 hari ke 26 hari.

“Kesinambungan daripada situasi ini, Kementerian Kesihatan Malaysia ingin mengingatkan semua pihak bahawa situasi penularan Covid-19 yang dihadapi negara masih kekal pada situasi sangat serius.

“Bahaya penularan Covid-19 dan kapasiti hospital terutama ICU bagi menampung kes-kes Covid-19 adalah di tahap kritikal dan boleh terus meningkat sekiranya kita alpa walaupun untuk sehari pun.

“Situasi ini tidak boleh diambil ringan terutama sekiranya ada pihak yang menyebarkan interpretasi yang tidak benar mengenai situasi semasa ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham memaklumkan kadar penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 bukan ICU di hospital pula menunjukkan sedikit penurunan dalam tempoh dua minggu iaitu dari 99 peratus kepada 89 peratus sehingga 6 Jun lalu.

Menurutnya, situasi sama berlaku menimpa kadar penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 adalah sebanyak 54 peratus.- MalaysiaGazette