KUALA LUMPUR – Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan pihak Universiti Teknologi Mara (UITM) dalam pembukaan operasi Pusat Pemberi Vaksin Institusi Pengajian TInggi (PPV IPT) di Kampus Puncak Alam.
Beliau yang mengadakan lawatan di PPV IPT itu berkata, selain mempunyai fasiliti yang lengkap seperti bilik pemantauan yang kondusif serta fasiliti-fasiliti lain, Dewan Berlian juga menawarkan kemudahan kawasan parkir dengan kapasiti 300 kenderaan yang pastinya akan memberi keselesaan kepada penerima-penerima vaksin.
“Terima kasih kepada Prof. Roziah, pemangku Naib Canselor UiTM dan Prof. Sazli, Pengarah Hospital UiTM yang telah bertungkus lumus menjayakan PPV IPT ini,” katanya selepas meninjau suasana pemberian vaksin di Dewa Berlian.
Menurut Noraini, Dewan Berlian UiTM Kampus Puncak Alam mampu memuatkan 1,500 orang pada satu-satu masa dan beroperasi bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang pada minggu ini sebelum dilanjutkan sehingga jam 8.00 malam setelah ia mula beroperasi sepenuhnya.
Untuk hari pertama, seramai 518 orang menerima suntikan vaksin.
Katanya, jumlah penerima vaksin dijangka dipertingkatkan ke kapasiti maksimum iaitu sekitar 5,000 penerima sehari berikutan penegasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa negara bakal menerima sebanyak 16 juta dos vaksin COVID-19 dalam tempoh dua bulan mendatang ini. – MalaysiaGazette