Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang membangunkan Pelan Hala Tuju Sisa Marin Kebangsaan dalam usaha menyelesaikan isu pencemaran mikroplastik hidupan marin di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, selain pencemaran fizikal, mikroplastik juga telah ditemui dalam hidupan marin di mana ia berpotensi mencemarkan rantaian makanan sekiranya tidak dibendung secara berkesan.

Jelas beliau, dengan adanya pelan itu, KASA berharap dapat membangunkan sistem yang mampu untuk mengenal pasti titik panas pencemaran sisa plastik agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

“Memandangkan terdapat pelbagai pemegang taruh yang terlibat dalam sisa pepejal termasuk sisa plastik, saya berharap agar KASA dan kementerian serta badan-badan lain dapat bekerjasama dalam menjayakan misi negara untuk mengurangkan sisa plastik negara.

“Menyedari sumbangan ekosistem marin dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan ekosistem kepada kita dan ancaman yang kian dihadapi oleh ekosistem ini seperti pencemaran sisa plastik serta penggunaan sumber marin yang semakin meningkat, adalah penting bagi kita untuk meneliti semula sasaran negara pada masa akan datang dalam memastikan laut dan sumber laut kita kekal terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena sambutan Hari Laut Sedunia dan Hari Segitiga Terumbu Karang secara maya di hari ini.

Hari Laut Sedunia disambut pada 8 Jun setiap tahun dan tema pada tahun ini adalah The Ocean: Life and Livelihoods manakala Hari Segitiga Terumbu Karang akan disambut esok.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menambah, KASA juga sedang mengetengahkan konsep ekonomi kitaran bagi rantaian penghasilan dan penggunaan plastik sebagai alternatif kepada penggunaan plastik secara traditional yang linear dan lebih menjurus kepada penggunaan sekali guna.

Menurut beliau, sekiranya nilai diletak ke atas plastik, dari awal proses rekabentuk, penghasilan, pengunaan dan pengunaan semula bahan ini, KASA percaya insentif yang sesuai boleh dibangunkan bagi menggalakkan pengurangan sisa plastik serta meningkatkan usaha 3R atau reduce, reuse, recycle.

“Inilah konsep ekonomi kitaran plastik yang sedang KASA ketengahkan bagi menyokong usaha sedia ada dalam pengurusan alam sekitar.

“Saya yakin bahawa usaha KASA ini dapat menyokong usaha murni kementerian dan agensi serta pihak kerajaan negeri yang berkaitan dalam menjaga ekosistem marin kita, selaras dengan sasaran pembangunan mampan dan dasar-dasar sedia ada seperti Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan,” katanya. – MalaysiaGazette