Dafi.

KUALA LUMPUR – Rancangan realiti televisyen baharu iaitu All Together Now Malaysia kini dihentikan buat sementara waktu berikutan dakwaan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada bulan Mac lalu selepas mendapat kritikan netizen.

Ini kerana program itu menghimpunkan seramai 50 juri terutamanya golongan artis yang juga merupakan antara juri-juri jemputan yang tidak memakai pelitup muka ketika rakaman program itu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Namun apa yang mencuri perhatian, turut kelihatan adalah salah seorang juri program yang merupakan anak kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu penyanyi Dafi.

Bekas peserta Akademi Fantasia (AF) musim kelima itu kini turut terkena tempiasnya apabila netizen membanjiri ruangan komen hantaran terbaharu dengan kecaman.

Bukan itu sahaja, ada juga yang memberi nasihat kepadanya agar menjadi contoh yang baik kepada masyarakat memandangkan statusnya sebagau ‘public figure’ selain perlu menjaga nama anak seorang menteri.

Apatah lagi Ismail Sabri merupakan menteri yang sering mengeluarkan perkembangan terkini SOP setiap hari kepada masyarakat.

Sementara itu, program All Together Now Malaysia yang bersiaran secara rakaman di stesen berbayar telah menghimpunkan 50 orang juri dalam satu masa dengan Sherry Alhadad selaku pengacara untuk acara tersebut.

Rakaman program berkenaan dilakukan di Putrajaya pada Mac hingga April lalu semasa kes penularan pandemik tidak seburuk sekarang. – MalaysiaGazette