Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa mengisahkan penduduk Kampong Pisang mengerjakan aktiviti 'masak-masak' pada sehari sebelum Aidilfitri.

KUALA LUMPURĀ  Filem terbitan Astro Shaw dan produksi Enjit-Enjit Semut, Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa terus mendapat sambutan hangat apabila berjaya mengutip RM2 juta dalam tempoh 10 hari tayangan di Astro First.

Kutipan tinggi itu menunjukkan penonton terhibur dengan jenaka dan lagu hit yang dinyanyikan barisan pelakon filem terbabit.

Selain itu, watak Yah Kuchai yang dilakonkan Afea Deanna mula menarik perhatian penonton dengan bakat dan karakter bersahaja yang menghiburkan.

Sebelum ini, watak Yah Kuchai tular menerusi babak ‘mi kari kuah laksa’ dalam drama premium, Kampong Pisang Bersiri-Siri.

Seterusnya, watak berkenaan dikembangkan dalam 18 Puasa Di Kampong Pisang serta filem Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa.

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, filem francais Kampong Pisang terus menerima sambutan positif.

“Malah, pelbagai subjek seperti babak, karakter dan lagu menjadi bualan penonton dalam media sosial.

“Ini lebih mengujakan apabila ramai yang terhibur. Secara tidak langsung membuktikan filem ini berjaya membawa penonton lari sekejap daripada tekanan, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Raja Jastina berkata, pihaknya berharap filem Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa mampu menarik lebih ramai penonton menyaksikan antara karya terbaik tempatan tahun ini selain kekal berada di rumah.

Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa mengisahkan penduduk Kampong Pisang mengerjakan aktiviti ‘masak-masak’ pada sehari sebelum Aidilfitri.

Husin kembali ke kampung bersama kekasih baharu, Nelly sehingga Cik Chun cemburu dan merajuk kerana cintanya ditolak.

Barkoba pula dikejutkan dengan kehadiran bekas kekasih yang pernah meninggalkannya kerana berkahwin dengan lelaki berpangkat pengurus kilang.

Pak Din pula sedih kerana anaknya tiba-tiba tidak dapat pulang ke kampung untuk beraya bersama. Cik Purnama pula membawa beg pakaian dan tilam ke mana-mana kerana kesunyian.

Filem ini menampilkan Datuk Awie, Kaka Azraf, Kazar Saisi, Aziz M Osman, Bell Ngasri, Afea Deana, Joey Daud, Nazeeera Sardi, Siti Elizad Sharifuddin dan ramai lagi. – MalaysiaGazette