KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengambil inisiatif apabila menyerahkan bantuan MAFI Prihatin berupa barangan makanan kering kepada petugas barisan hadapan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC), Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang hari ini.

Penyerahan bantuan itu disampaikan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah, kepada Pengarah PKRC MAEPS, Dr Shahabuddin Ibrahim.

Turut hadir pada sesi penyerahan itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Haslina Abdul Hamid.

“Bantuan MAFI Prihatin merupakan hasil sumbangan dan tanggungjawab sosial pelbagai Jabatan dan Agensi dibawah MAFI seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang menyumbangkan produk makanan Agromas.

“Selain produk makanan turut disampaikan juga tajaan beras oleh pihak MARDI Corporation (MAEPS) bertujuan untuk membantu meringankan beban para petugas barisan hadapan yang turut
terkesan dengan penularan pandemik Covid-19,” kata MAFI menerusi kenyataan hari ini.

MAFI berkata, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah MAEPS 2.0 telah diaktifkan semula pada 6 Disember tahun lepas berikutan peningkatan kes Covid-19 dengan mendadak dan pelaksanaan program saringan pekerja asing oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 yang kini beroperasi dengan sembilan buah dewan boleh menampung sehingga 5,000 pesakit pada satu-satu masa dan telah merawat lebih 100,000 pesakit dalam tempoh enam bulan, katanya.

Pengurusan PKRC Bersepadu MAEPS melibatkan kolaborasi di antara 18 buah agensi yang diterajui bersama oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia (NADMA) dan Pejabat
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) dengan kekuatan anggota harian seramai 1,394 kakitangan. – MalaysiGazette