Reezal Merican Naina Merican

PUTRAJAYA – Tidak ada sebarang halangan untuk Malaysia mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 Ogos ini.

Malah penyertaan Malaysia dialu-alukan tuan rumah temasya tersohor dunia yang diadakan empat tahun sekali lebih-lebih lagi dalam norma baharu Covid-19 kali ini, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini.

Berita gembira itu sekaligus menolak segala khabar angin kononnya 10 negara termasuk Malaysia mungkin dihalang daripada menyertai temasya kali ini di Tokyo pada Ogos.

“Saya telah menerima pengesahan secara peribadi daripada Tuan Yang Terutama Oka Hiroshi, Duta Besar Jepun ke Malaysia dan juga Wisma Putra berhubung isu itu.

“Pengesahan yang agak menggembirakan itu diterima KBS susulan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 Toshiro Muto serta Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang menafikan laporan bahawa 10 negara termasuk Malaysia akan disekat daripada menyertai temasya itu bulan depan,” katanya menerusi kenyataan terbaharu hari ini.

Ahli Parlimen Kepala Batas itu bagi pihak kerajaam merakamkan setinggi penghargaan kepada Duta Besar Jepun ke Malaysia Oka Hiroshi yang sentiasa memberikan perkembangan terkini serta turut membantu mengesahkan bahawa Malaysia sentiasa dialu-alukan untuk menyertai temasya Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020.

Menurutnya, para atlet Malaysia juga kini sedang giat menjalani latihan persiapan bagi menghadapi Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020.

“Dalam hal ini, saya bersyukur kesemua atlet kita dalam keadaan terbaik untuk menggalas cabaran menjulang Jalur Gemilang di Tokyo 2020 bermula 23 Julai 2021 nanti,” tegas Reezal.-MalaysiaGazette